Saturday, December 14, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjanjian dicapai eksport minyak Iraq

    LONDON, 4 APRIL – Kerajaan pusat Iraq dan pegawai dari wilayah separa autonomi Kurdish mencapai perjanjian muktamad hari ini untuk menyambung semula eksport minyak dari utara Iraq melalui saluran paip ke Turkiye.

    Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani dan perdana menteri wilayah separa autonomi Kurdish, Masrour Barzani, mengumumkan perjanjian itu pada sidang media di Baghdad.

    “Menghentikan eksport minyak rantau ini menjejaskan pendapatan Iraq,” kata Sudani, sambil menambah bahawa kerajaan akan berusaha ke arah meluluskan undang-undang persekutuan yang memperincikan perkongsian dana daripada eksport minyak dan gas.

    Barzani berkata dalam satu kenyataan bahawa walaupun perjanjian itu bersifat sementara, ia merupakan langkah penting ke arah menamatkan pertikaian lama antara Irbil dan Baghdad sekali gus mewujudkan suasana yang positif dan selamat untuk akhirnya meluluskan undang-undang minyak dan gas negara.

    Pegawai Kurdish berkata perjanjian itu akan membolehkan eksport dimulakan semula seawal Selasa.

    Iraq berhenti menghantar hampir setengah juta tong minyak melalui saluran paip bulan lalu selepas proses timbang tara oleh Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) menyebelahi Iraq dalam pertikaian lama berhubung eksport minyak bebas oleh kerajaan wilayah Kurdish. Baghdad dan Erbil telah bertelagah mengenai hasil minyak selama bertahun-tahun.

    Iraq, pengeluar kedua terbesar OPEC, memfailkan timbang tara terhadap Turkiye pada 2014 selepas wilayah Kurdish mengetepikan syarikat pemasaran minyak milik negara Iraq, SOMO, dan mula mengeksport minyak mentah melalui negara jiran itu. Iraq mendakwa bahawa semua eksport minyak perlu melalui SOMO, mengikut perjanjian 1973 dengan Turkiye. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda