ISTANBUL, 17 NOV – Satu perjanjian membenarkan Ukraine mengeksport bijirin menerusi Laut Hitam selain bertujuan meredakan krisis makanan global telah dilanjutkan selama 120 hari, kata pegawai hari ini.
Ukraine ialah pengeksport bijirin utama di dunia, tetapi serangan Rusia pada akhir Februari telah menghentikan hantaran. Perjanjian di antara kedua-dua negara, dibroker oleh Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)pada Julai, telah membantu menghantar lebih daripada 11 juta tan bijirin dan produk pertanian lain dari pelabuhan Ukraine sejak awal Ogos. Perjanjian dijangka luput pada Sabtu. Hari ini, pegawai Ukraine dan Turkiye mengumumkan perjanjian akan dilanjutkan selama empat bulan di bawah syarat-syarat yang sama.
“#InisiatifBijirinLautHitam akan dilanjutkan selama 120 hari,” kata Menteri Infrastruktur Ukraine, Oleksandr Kubrakov di Twitter, sementara seorang pegawai kanan Turkiye mengesahkan kepada AFP bahawa perjanjian telah dilanjutkan ‘di bawah syarat-syarat sekarang.’
“Saya menyambut baik perjanjian oleh semua pihak untuk meneruskan Inisiatif Bijirin Laut Hitam bertujuan memudahkan penghantaran bijirin, makanan serta baja dari Ukraine, dengan selamat,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pusat Penyelarasan Bersama (JCC) di Istanbul yang telah menyelia perjanjian tersebut.
“PBB amat komited untuk menghapus sekatan eksport makanan dan baja dari Persekutuan Rusia,” kata Guterres. – AFP
