Perjanjian EUSFTA mula kuat kuasa

SINGAPURA, 21 NOV – Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Singapura (EUSFTA) yang menyaksikan Singapura menghapuskan tarif ke atas produk EU yang memasuki negara itu, mula berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, EU akan menghapuskan tarif sebanyak 84 peratus terhadap produk-produk Singapura yang memasuki EU pada tahun pertama, manakala baki 16 peratus lagi adalah untuk tempoh tiga hingga lima tahun.

“EUSFTA yang mula berkuat kuasa hari ini merupakan isyarat kukuh komitmen EU dan Singapura untuk mendukung perdagangan berasaskan peraturan dan terbuka,” kata Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Singapura, S. Iswaran dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai perjanjian untuk masa hadapan, ia menandakan lembaran baharu hubungan EU-Singapura dan akan mewujudkan asas yang kukuh bagi kedua-dua pihak untuk membawa kerjasama ekonomi kami ke peringkat seterusnya.

“Kami berharap semua syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana akan menggunakan EUSFTA dan menerima manfaat daripada peluang yang diwujudkan daripada perjanjian ini,” kata Iswaran.

Susulan kelulusan Majlis Kesatuan Eropah pada 8 November 2019, EU dan Singapura menyelesaikan proses-proses yang belum dilakukan agar perjanjian itu dapat dilaksanakan.

Singapura dan EU memulakan perbincangan mengenai EUSFTA pada Disember 2009, namun menamatkan perbincangan tersebut pada Oktober 2014.

“Hari ini menandakan satu detik penting dalam hubungan dua hala kami di mana perjanjian perdagangan EU-Singapura mula berkuat kuasa.

“Perjanjian ini akan meningkatkan hubungan dua hala, menyemarakkan komitmen EU terhadap ASEAN selain menandakan isyarat sokongan yang kukuh bagi aturan antarabangsa berasaskan peraturan, ” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU Cecilia Malmström.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, EUSFTA menyediakan peraturan tempat asal (ROO) yang liberal dan fleksibel kepada eksport utama EU dan Singapura ke pasaran masing-masing termasuk kereta, kimia, pakaian dan tekstil, elektronik, jentera, farmaseutikal dan petrokimia.

EUSFTA merupakan FTA dua hala yang pertama di mana Singapura menggabungkan akses pasaran bagi produk makanan Asia yang dibuat di Singapura seperti ladu udang dan sambal ikan bilis. – Bernama