GENEVA, 10 OKT – Ketua alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa perjanjian global bersejarah bagi menangani pencemaran plastik masih boleh direalisasikan, walaupun rundingan sebelum ini gagal mencapai kata sepakat dua kali dan pengerusinya meletak jawatan secara mengejut minggu ini.
Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB (UNEP), Inger Andersen berkata dalam wawancara eksklusif bersama AFP bahawa negara-negara masih komited untuk mencari penyelesaian terhadap isu pencemaran plastik yang semakin meningkat, termasuk pencemaran di lautan, meskipun wujud perbezaan pandangan yang ketara.
Sekumpulan besar negara mendesak tindakan tegas seperti mengehadkan pengeluaran plastik, manakala kumpulan kecil negara pengeluar minyak mahu tumpuan lebih diberikan kepada pengurusan sisa.
Rundingan yang sepatutnya menjadi penutup di Korea Selatan pada 2024 berakhir tanpa sebarang persetujuan dan usaha yang disambung semula di Geneva pada Ogos turut menemui kegagalan.
Negara-negara meluahkan rasa marah dan kecewa apabila rundingan itu gagal, namun mereka tetap mahu perbincangan diteruskan pada masa akan datang.

“Kami pulang dengan kejelasan yang lebih baik. Dan tiada siapa yang telah meninggalkan meja rundingan,” kata Andersen.
“Tiada siapa berkata, ‘ini terlalu mustahil, kami menyerah’. Tiada siapa. Dan daripada semua itu, saya dapat kekuatan.”
Masalah pencemaran plastik kini berada di mana-mana sehingga mikroplastik telah ditemui di puncak gunung tertinggi, di dasar laut paling dalam dan di hampir setiap bahagian tubuh manusia.
Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, separuh daripadanya adalah untuk barangan sekali guna.
Walaupun 15 peratus sisa plastik dikumpul untuk dikitar semula, hanya sembilan peratus benar-benar dikitar. Hampir separuh (46 peratus) berakhir di tapak pelupusan, 17 peratus dibakar dan 22 peratus tidak diurus dengan baik lalu menjadi sampah sarap.
Pengeluaran plastik berasaskan bahan api fosil dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2060.
Setakat ini, belum ada jadual baharu untuk rundingan akan datang, dan tiada negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.
Namun Andersen yakin perjanjian masih boleh dicapai. – AFP

