MIAMI, 6 MAC – Rory McIlroy berkata kelmarin perjanjian untuk menyatukan semula golf nampaknya tidak akan dicapai dalam masa terdekat, walaupun terdapat siri pertemuan baru-baru ini antara PGA Tour yang bersaing dan LIV Golf yang disokong Saudi.
Harapan mencapai kejayaan dalam rundingan antara dua kelab golf itu meningkat selepas Presiden Donald Trump menganjurkan pertemuan antara pemimpin PGA dan LIV di Rumah Putih bulan lalu.
Namun, meskipun terdapat perasaan optimistik selepas pertemuan itu, McIlroy berkata pada Selasa bahawa perjanjian itu tidak kelihatan akan berlaku dalam masa terdekat.
“Saya tidak fikir ia akan dicapai pada bila-bila masa,” kata McIlroy dalam satu sidang akhbar kelmarin menjelang Arnold Palmer Invitational minggu ini di Bay Bill, Florida.
McIlroy adalah salah seorang pengkritik tegar LIV Golf selepas ia dilancarkan pada 2022, yang menarik ramai nama besar dari PGA Tour dengan bayaran dan hadiah kejohanan yang lumayan.
Sikap pemain golf dari Ireland Utara itu telah berubah sejak PGA memperkenalkan perjanjian rangka kerja dengan pembiaya LIV dari Saudi pada 2023, dengan McIlroy berkata baru-baru ini bahawa pemain PGA Tour perlu ‘lupakan perkara itu’ demi kebaikan golf.
Namun pada Selasa, McIlroy mencadangkan bahawa perkembangan mengenai penyatuan semula telah menemui jalan buntu dalam beberapa minggu kebelakangan ini. – AFP
