BANGKOK, 3 Nov – Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) dijangka memuktamadkan perjanjian pelaburannya sebanyak AS$7 billion (RM31 billion) dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan memberikan ruang kepada Petronas dan Saudi Aramco untuk menyelesaikan beberapa isu teknikal berkenaan perjanjian pelaburan terbabit.
“Sekarang ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh kedua-dua pihak (Petronas dan Saudi Aramco), dan proses itu berterusan. Alhamdulillah, saya jangkakan tidak lama lagi untuk mereka (Aramco) salurkan dana mereka dalam projek itu (RAPID),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau berada di Bangkok untuk menghadiri persidangan Mesyuarat Meja Bulat Tenaga Menteri-Menteri Asia Ke-7 (AMER) yang berakhir semalam.
Ketika berada di ibu negara Thailand ini, Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi Khalid Abdulaziz Al-Falih yang turut menyertai persidangan sehari itu.
Menurutnya, beliau dan Al-Falih berbincang tentang perkembangan terkini pelaburan Saudi Aramco di RAPID dalam pertemuan itu.
“Saya berbincang dengan beliau tentang perkembangan terkini (pelaburan Saudi Aramco di RAPID) dan Alhamdulillah, saya dapati tiada masalah yang besar. Pelaburan itu akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Pada Februari lepas, Petronas dan Saudi Aramco menandatangani perjanjian pembelian saham bagi membolehkan syarikat minyak dan gas Arab Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam projek RAPID.
Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua syarikat minyak dan gas milik negara memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). – Bernama