‘Perjanjian UAE-Israel satu pengkhianatan’

BAITULMAQDIS, 14 OGOS – Palestin tidak mengiktiraf perjanjian damai antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penasihat kanan kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh berkata ia dianggap sebagai satu pengkhianatan.

“Pemimpin Palestin menolak dan mengecam perjanjian tiga pihak yang dibuat antara UAE, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan secara mengejut itu,” katanya seperti yang dilaporkan TRT World.

Beliau yang membacakan kenyataan di luar pejabat Abbas di Ramallah, Tebing Barat berkata, perjanjian itu mengkhianati Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin.

Media semalam melaporkan Trump dalam satu pengumuman mengejut berkata, Israel dan UAE berjaya mencapai perjanjian damai.

Beliau menerusi Twitter turut menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik dan satu pencapaian besar.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Trump berkata penyelesaian lebih diplomatik antara Israel dan negara jiran Islam mereka di rantau itu dijangka berlaku. – AFP

Pembantah Palestin membakar patung yang menunjukkan wajah (kiri-kanan) Perdana Menteri Israel, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Presiden AS semasa tunjuk perasaan di Nablus, Tebing Barat kelmarin. – AFP