DOHA, 21 FEB – Carlos Alcaraz tersingkir daripada Terbuka Qatar di peringkat suku akhir semalam selepas tewas kepada Jiri Lehecka. Sementara itu, pemain pilihan kedua, Alex de Minaur turut senasib dengan pemain kelahiran Sepanyol iu.
Pemain Pilihan utama, Alcaraz, tewas pada set pertama sebelum bangkit untuk menyamakan kedudukan, dan kemudian mendahului dengan satu break pada set penentuan, tetapi pemain ranking ke-25 dunia, Lehecka, memenangi empat perlawanan terakhir untuk mencatat kemenangan 6-3, 3-6, 6-4.
Alcaraz menuju ke perlawanan dengan rekod kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut selepas kejayaannya di Rotterdam awal bulan ini tetapi menghadapi kesukaran menentang Lehecka yang merangkul gelaran kedua dalam kariernya di Brisbane pada awal tahun ini.
“Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan dengan lebih baik,” kata Alcaraz. “Saya juga perlu memberi pujian kepadanya kerana apabila dia ketinggalan, terutama pada set ketiga, dia tidak berputus asa.
“Dia melakukan pukulan balas dengan sangat baik, bermain dengan agresif, tanpa kesilapan atau hampir tiada kesilapan.”
Lehecka, 23 tahun, akan menentang pemain pilihan kelapan dari Britain, Jack Draper, hari ini untuk merebut tempat ke final. Pemain Czech itu mara ke separuh akhir di Doha buat kali kedua.
“Saya berasa sangat hebat,” kata Lehecka. “Menang dalam perlawanan seperti ini menentang pemain seperti Alcaraz adalah satu pencapaian yang besar.
“Saya percaya pada diri sendiri dan tahu saya mempunyai tahap permainan untuk menghasilkan aksi seperti ini,” katanya. – AFP
