Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kejayaan adalah bukti ketabahan dan kepintaran.
Ketabahan adalah kekuatan untuk berdiri teguh dan mengukuhkan diri bagi mempertahankan sebuah keyakinan peribadi. Kepintaran ialah kreativiti untuk mensintesis sesuatu yang bermakna daripada apa yang tersedia di depan mata.
Oleh itu, ketabahan dan kepintaran merupakan dua kualiti utama yang mesti diterapkan dalam diri kita untuk menggapai segala cita-cita atau impian mahupun mengejar kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi seperti menggenggam segulung ijazah.
Itulah antara luahan dikongsikan oleh seorang graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Matematik di bawah Jabatan Sains Matematik Fakulti Sains, Eden Ng Tian Hwa, semasa ditemui Media Permata pada Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Dewan Canselor UBD, kelmarin.
Perjuangan dalam menyelesaikan pengajian PhD selama tiga tahun enam bulan telah membuahkan hasil di mana satu projek penyelidikan berjudul Mathematical Modelling in Ecological Evolutionary Developmental Biology telah berjaya dilaksanakan.


Mengulas ringkas mengenai projek penyelidikan berkenaan, Eden berkata Mathematical Modelling merujuk kepada penggunaan kaedah berangka dan komputasional untuk menganalisis dan membuat ramalan tentang beberapa topik.
“Di sini, topik yang diminati ialah Ecological Evolutionary Developmental Biology, yang menyerlahkan peranan penting interaksi gene-environmental dan proses perkembangan dalam penyesuaian. Pencapaian utama projek ini ialah pembinaan model komputasional yang mempamerkan evolusi yang diterajui oleh keplastikan iaitu evolusi yang dimulakan oleh tindak balas terhadap perubahan persekitaran tanpa mutasi genetik, satu pencapaian yang belum pernah dicuba sebelum ini,” ujarnya.
PERKASA ILMU TADBIR URUS
Menjalani pengajian selama dua tahun enam bulan dalam Sarjana Kerajaan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, UBD, telah menyerlahkan lagi pemahaman salah seorang graduan yang turut diraikan, Dayang Siti Nabilah binti Haji Abu Nipah, dalam bidang Pentadbiran Awam khususnya dalam membangunkan negara berdasarkan tadbir urus Islam sejajar dalam mengukuhkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
“Setelah menerima ijazah ini, saya berharap untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari untuk menyumbang, walau sedikit, secara langsung ataupun tidak langsung, kepada pertumbuhan negara kita. Saya juga masih berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang seterusnya untuk memperluaskan lagi pengetahuan dan kepakaran saya selagi mampu.
“Harapan saya juga adalah supaya sesiapa yang ada kemahuan dan kemampuan untuk menyambung pembelajaran bagi meneruskan keinginan tersebut, kerana mahu dan mampu adalah rezeki daripada Allah SWT, manakala pembelajaran adalah untuk sepanjang hayat,” ujarnya yang telah menamatkan pengajiannya secara separuh masa.
Dalam pada itu, Dayang Siti Nabilah turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diperolehi yang sangat bermakna kerana ia bukan sekadar satu pencapaian akademik, tetapi juga penting bagi pertumbuhan profesional dan peribadi diri.
“Perjalanan yang saya lalui selama pengajian ini telah mematangkan diri, lantas secara tidak langsung juga, memperbaiki diri baik di tempat kerja mahupun di rumah.
“Tambahan lagi, mengikuti pengajian ini secara separuh masa telah mendidik diri supaya lebih disiplin dalam pengurusan masa untuk mencapai keseimbangan kerja-kehidupan,” jelasnya.
KESEDARAN KESELAMATAN SIBER
Keselamatan Siber dan Forensik adalah salah satu cabang dalam bidang IT dan di negara ini ia semakin berkembang melalui usaha kerajaan, organisasi dan individu bagi memastikan keselamatan siber negara sentiasa terjamin dan setanding dengan peringkat antarabangsa.
Pastinya segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang menempuhi pengajian program Ijazah Sarjana Muda dalam Keselamatan Siber dan Forensik di bawah Sekolah Sains Digital (SDS) selama empat tahun diharap dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat dengan membantu menangani segala cabaran negara.
Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Awang Muhamad Danial Asyraf bin Mohamad yang mendapat pangkat ijazah Kepujian Kelas Kedua Atas dengan penghasilan projek tahun akhir pengajian berjudul Privacy in Context Aware Services.
“Privasi sangat penting dalam perkhidmatan berasaskan konteks dalam bidang keselamatan siber kerana ia melindungi maklumat sensitif, mengekalkan kepercayaan pengguna, dan memastikan pematuhan terhadap peraturan seperti peraturan perlindungan data umum (GDPR). Dengan melindungi data melalui enkripsi, kawalan akses, dan anonimasi, langkah-langkah keselamatan siber dapat mencegah akses tanpa kebenaran dan potensi penyalahgunaan.
“Amalan ini juga membantu dalam meminimumkan pengumpulan data, memelihara autonomi pengguna, dan mengelakkan pencerobohan ke dalam kehidupan peribadi. Selain itu, kawalan privasi yang kukuh adalah penting untuk mencegah serangan yang disasarkan dan memastikan perkhidmatan berasaskan konteks kekal selamat dan menghormati privasi pengguna,” jelasnya.
MANFAAT JURUSAN KEJURURAWATAN
Manfaat ilmu dan kemahiran dalam jurusan kejururawatan terbukti memberikan sumbangan penting selaras dengan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial, iaitu dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mendidik masyarakat tentang gaya hidup sihat.
Selain itu, ia juga mampu mengajar seseorang tentang kepimpinan dalam memacu inovasi dan penambahbaikan dalam sistem penjagaan kesihatan. Sumbangan ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), seperti SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, yang bertujuan memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan bagi semua peringkat umur.
Demikian ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan, Jurusan Kejururawatan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Dayang Nur Razanah binti Haji Rosli kepada Media Permata.
Beliau yang menerima pangkat ijazah Kepujian Kelas Pertama turut menambah kekuatan untuk menggapai kejayaan tersebut adalah dengan selalu melakukan muhasabah diri, di mana dirinya sentiasa memikirkan masa depan dan mengingatkan diri agar menjadi belia Brunei bersiaga untuk masa depan dan bersama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035, di mana bidang akademik kesihatan perlu mencapai tahap yang tinggi dan berkualiti.
“Selain itu, saya berpegang kepada prinsip bahawa menuntut ilmu tidak akan pernah merugikan, sebaliknya ia akan membuka lebih banyak peluang dan memperkaya kehidupan saya. Setiap pengetahuan yang diperoleh akan menjadi aset berharga yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan diri dan masyarakat,” luahnya.

