Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjuangan masyarakat setinggan hadapi krisis iklim

    LIMA – Sofia Llocclla Pellaca sentiasa turun naik dengan berjalan kaki dari bukit yang gelap tempat dia tinggal dengan bekalan elektrik yang hampir tiada di pinggiran Lima. Dia jarang makan daging dan memasak dengan menggunakan dapur gas atau kayu.

    Bahkan dia tidak pernah mendengar tentang jejak karbon.

    Ketika beberapa penduduk yang peka tentang iklim di negara yang kaya cuba untuk menyekat pelepasan karbon mereka, kesan minimum Pellaca terhadap alam sekitar ialah merupakan kesan sampingan yang tidak menggembirakan.

    Memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang miskin dan merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mengawal pelepasan karbon yang merosakkan planet merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi pemimpin dunia yang berkumpul untuk perbincangan iklim COP28 di Emiriah Arab Bersatu.

    “Saya turun, saya berjalan ke tempat yang perlu saya pergi, saya berjalan balik” mendaki bukit, kata Pellaca, 31 tahun, ibu tunggal kepada dua anak yang jarang menggunakan pengangkutan awam, tidak memiliki kereta atau motosikal dan tidak pernah naik pesawat.

    Sofia Llocclla Pellaca menggendong anak perempuannya di belakang dengan selimut. – AFP
    Pellaca mendapat air daripada kabus di daerah Villa Maria del Triunfo. – AFP
    Pandangan udara bagi kawasan yang diliputi kabus di daerah Villa Maria del Triunfo, di pinggir selatan Lima, diambil pada 7 Oktober 2023. – AFP
    Kira-kira 27.5 peratus daripada 30 juta penduduk Peru hidup dalam kemiskinan. – AFP

    Pellaca adalah pekerja domestik yang menerima gaji kurang daripada separuh gaji minimum Peru sebanyak AS$265 sebulan.

    Dia tinggal di kawasan setinggan di dataran tinggi yang berkabus di pinggiran ibu negara Peru yang merupakan tempat tinggal bagi 2.7 juta penduduk Lima yang miskin.

    Ekonomi Peru bergantung sepenuhnya pada perikanan dan perlombongan, dengan 73 peratus daripada populasi pekerja di sektor swasta.

    Peru mempunyai jejak karbon terendah di Amerika Selatan, mengeluarkan purata 1.7 tan karbon setiap orang, berbanding 4.2 tan di Argentina.

    Di Amerika Syarikat, jejak tahunan purata setiap orang adalah 15 tan, lebih dari tiga kali ganda purata global.

    Pakar mengatakan bahawa untuk kekal di bawah penanda aras kritikal dalam peningkatan suhu global dua darjah Celsius, individu perlu mengurangkan jejak karbon mereka kepada kurang daripada dua tan dalam beberapa dekad akan datang.

    Kurangkan makan daging, kurangkan penerbangan, kurangkan pemanduan dan penggunaan elektrik dengan lebih berhemah semuanya dianggap sebagai cara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang merosakkan planet.

    Di rumah yang siap pasang milik Pellaca, tiada bilik mandi atau pemanasan. Dia memiliki televisyen dan peti sejuk separuh penuh. Dia dan ibunya, yang tinggal beberapa rumah jauhnya, mendapat elektrik yang tidak teratur dari penyambungan haram.

    Tidak ada lampu awam atau sistem kumbahan dan air minuman tiba setiap 15 hari dalam trak tangki.

    Kira-kira 27.5 peratus daripada populasi Peru yang seramai 30 juta orang hidup dalam kemiskinan.

    Menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan tanpa meningkatkan pelepasan CO2 daripada pembakaran bahan api fosil ialah satu cabaran besar yang dihadapi oleh negara-negara yang membangun.

    Di Peru, hampir dua pertiga daripada pelepasan karbon ialah hasil daripada penebangan hutan di hujung Amazon dan perkembangan bandar, kata Manuel Pulgar-Vidal, bekas menteri alam sekitar dan presiden COP 20 di Lima pada 2014.

    Beliau memberitahu AFP bahawa kebanyakan tenaga Peru berasal dari sumber hidro-elektrik.

    Ia sangat ‘membingungkan dan memperdayakan’ untuk menganggap bahawa ia ialah sebuah negara membangun, Peru boleh mengelakkan tanggungjawabnya di hadapan krisis iklim, kata bekas menteri itu.

    Sebahagian besar Amerika Latin, katanya, gagal mencipta strategi yang ‘jelas dan terancang dengan baik’ untuk beralih ke tenaga boleh diperbaharui kerana terjebak dalam ‘perangkap minyak, batu arang dan gas’.

    Kaya atau miskin, ‘dunia akan secara beransur-ansur meninggalkan bahan api fosil. Itu tidak dapat dielakkan’, kata Pulgar-Vidal.

    Di pinggiran Lima, penduduk memerlukan tapak pembuangan sampah yang lebih baik, perkhidmatan asas dan pembinaan yang sejajar dengan ‘ekosistem sekitarnya’, katanya dan kekurangan pengangkutan harus diatasi dengan kenderaan elektrik.

    Sementara itu, Pellaca bermimpi untuk membeli motosikal untuk membawa anak perempuannya yang berusia 14 tahun ke sekolah.

    ‘Ia lebih baik’ untuk membeli panel solar untuk bekalan elektrik yang lebih kerap, tetapi satu yang kecil itu berharga AS$115.

    “Di masa depan saya akan membeli satu, sedikit demi sedikit,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda