MAE SOT – Di sebuah pusat rawatan dadah di rumah bertiang kayu dalam hutan tebal Thailand, pelarian muda dari Myanmar menanti dengan sabar untuk dicucuk jarum akupuntur.
Mereka adalah antara ribuan yang telah ketagih kepada methamphetamine dan dadah sintetik lain yang membanjiri kem-kem penempatan mereka yang terpaksa melarikan diri akibat perang saudara di Myanmar.
Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, mencetuskan konflik yang telah meragut ribuan nyawa, menyebabkan hampir tiga juta orang hilang tempat tinggal dan mendorong peningkatan dalam pengeluaran dadah.
Sebuah program pemulihan di sempadan Thailand, yang dikendalikan oleh bekas penagih, sedang cuba membantu mengurangkan ketagihan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda yang tinggal di kem-kem ini.
“Remaja di kem-kem ini hilang harapan. Mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Mereka tiada jaminan pekerjaan dan tiada masa depan,” kata Marip, seorang kaunselor dan bekas penagih, menggunakan nama samaran kerana stigma berkaitan ketagihan.
“Mereka akhirnya mengambil dadah. Dadah mudah didapati di dalam kem,” katanya kepada AFP di kem di lokasi terpencil dalam hutan di wilayah barat Thailand, Tak.
Pusat rehabilitasi Pemulihan dan Pendidikan Dadah dan Alkohol (DARE), yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi bantuan lain, menggunakan akupuntur sebagai sebahagian daripada rawatannya, bersama urutan untuk mengurangkan keinginan mengambil dadah dan yoga untuk membantu mengendalikan simptom terjejas akibat bahan tersebut.
Kumpulan ini beroperasi di lima kem pelarian, serta lebih 40 kampung di negeri Karen, Myanmar, dan mendakwa kadar kejayaan sebanyak 60 peratus untuk program rawatan selama 90 hari mereka.
Namun, mereka tidak membenarkan AFP bercakap dengan mana-mana pesakit atau bekas pesakit mereka kerana ia melanggar prinsip rawatan mereka.
Lebih tiga tahun konflik di Myanmar digabungkan dengan ketersediaan dadah yang mudah telah mencipta ‘bencana teruk’, kata Edward Blakeney, seorang pengarah di DARE, kepada AFP.
“Awda mempunyai dua masalah besar, trauma daripada mereka yang melarikan diri dari rumah mereka dan melihat saudara mereka terbunuh, serta bekalan dadah yang melimpah dan rasa putus asa,” katanya.
Junta yang diketuai oleh Jeneral Min Aung Hlaing sedang bertempur dengan pelbagai kumpulan bersenjata yang menentang pemerintahan mereka di seluruh negara. Selain kematian dan perpindahan, konflik ini juga menyebabkan penguatkuasaan undang-undang merosot, membolehkan kumpulan dadah meningkatkan pengeluaran mereka.
Wilayah ‘Segi Tiga Emas’ di mana Myanmar, Thailand, dan Laos bertemu telah lama menjadi pusat perdagangan dadah haram.
Tetapi Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam laporannya tahun ini menyatakan bahawa pengeluaran methamphetamine telah meningkat dengan ketara, menyebabkan harga borong bentuk kristal dadah ini jatuh daripada lebih AS$10,000 satu tan pada 2019 kepada AS$4,000 satu tan pada 2023.
Di jalanan dan dalam kem, sebiji tablet yaba, iaitu campuran kuat methamphetamine dan kafein, boleh dibeli dengan harga yang sangat rendah.
“Ia begitu murah pada masa ini, sangat mudah untuk orang membeli dadah,” kata Benedikt Hofmann, wakil timbalan UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik, kepada AFP.
“Kini, di kebanyakan kawasan Mekong, mendapatkan sebiji tablet yaba lebih murah daripada membeli bir.”
Kem-kem pelarian ini terletak di kawasan sempadan Myanmar yang kebanyakannya dikawal oleh kumpulan bersenjata etnik minoriti – ramai daripada mereka membiayai aktiviti mereka dengan menghasilkan dan menyeludup dadah.
Seorang pegawai kanan polis anti-dadah di Myanmar memberitahu AFP bahawa banyak laluan penyeludupan baharu telah dibuka di seluruh negara akibat pertempuran.
“Kami menghadapi banyak kesukaran untuk membanteras perdagangan dadah,” kata pegawai tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan kepada AFP. “Masalah ini amat serius kerana banyak kumpulan bersenjata yang terlibat.”
Kosnya ditanggung oleh mereka yang paling menderita, dan kaunselor Marip memberitahu AFP, “Tiada harga yang dapat dibandingkan dengan kebebasan daripada dadah.” – AFP