BANDAR MEXICO – Cassandra Garduño menyipitkan matanya di bawah cahaya matahari, but kasutnya yang berwarna merah jambu tercemar tanah ketika dia merenung ke arah chinampa milik keluarganya — salah satu pulau yang pertama kali dibina oleh orang Aztec dengan lumpur subur dari dasar tasik yang setelah itu dikeringkan untuk dijadikan kebun, pada suatu hari nanti akan menjadi Bandar Mexico.
Makanan dari pulau-pulau ini telah memberi makan kepada orang ramai selama beratus-ratus tahun, tetapi chinampa kini terancam oleh urbanisasi.
Hasil tanaman yang diusahakan di sini tidak mendapat harga yang tinggi dan ramai keluarga meninggalkan amalan kuno ini untuk menyewakan atau menjual tanah mereka bagi kegunaan yang lebih menguntungkan seperti padang bola sepak.
“Orang ramai tidak mahu bertani lagi. Mereka tidak melihatnya sebagai suatu keperluan, mereka tidak mahu menghasilkan, dan orang tidak mahu membeli hasilnya,” kata Garduno.
Beberapa petani yang masih bertahan, seperti Garduno, bersatu untuk memelihara dan mempromosikan penggunaan tradisional chinampa.
“Semua ini tidak akan wujud tanpa tangan manusia, tangan mereka yang bekerja di sini dan mencipta chinampa seribu tahun lalu,” katanya pada suatu pagi baru-baru ini ketika bau saderi yang tumbuh berhampiran memenuhi udara.
Kebun-kebun yang bersilang oleh terusan di daerah selatan Xochimilco di ibu kota ini dibina dari lapisan tanah yang digali, disatukan bersama oleh ahuejotes yang tinggi dan kurus — sejenis pokok willow — yang ditanam di sekeliling perimeter tanah. Xochimilco mempunyai lebih daripada 2,500 ekar tanah yang dilindungi milik generasi chinampero tempatan, iaitu mereka yang bercucuk tanam di pulau-pulau tersebut.
Kenangan awal Garduño tentang chinampa keluarganya adalah dari melihat melalui tingkap datuk dan neneknya ke arah sebidang tanah itu dan menyaksikan perahu menyusuri terusan-terusan.
Sejak itu, dia melihat bagaimana chinampa semakin merosot akibat tekanan urbanisasi dan apabila sesetengah petani mula meninggalkan amalan tersebut.
Apabila datuknya meninggal dunia pada tahun 2010 dan bapa-bapa saudaranya tidak mahu meneruskan usaha itu, Garduno bertekad untuk mempelajari dan melestarikan pertanian turun-temurun tersebut.
Pada mulanya, jiran dan saudara-saudaranya skeptikal, tetapi dia membeli tanah untuk chinampa miliknya dari bapa saudara seorang rakan pada tahun 2020 dan kini menanam pelbagai hasil tanaman, termasuk bunga matahari, terung dan bunga marigold Mexico, ‘cempasuchil’.
Kini Garduño, berusia 32 tahun, adalah sebahagian daripada kolektif yang semakin berkembang dipanggil Chinampa Refuge, yang dimulakan oleh Universiti Kebangsaan Autonomi Mexico, dan dia serta petani lain menggalakkan chinampero untuk memelihara tanah mereka.
Mereka mengikuti teknik penanaman kuno tetapi mencuba pendekatan komersial baharu untuk bersaing dengan hasil tanaman yang lebih murah dari ladang besar di tempat lain di Mexico.
Ini termasuk label khas — Etiqueta Chinampera — yang memberitahu pembeli bahawa hasil tersebut berasal dari chinampa, dan boleh juga menyer-takan maklumat seperti kualiti air atau status chinampa sebagai kawasan perlindungan biodiversiti.
“Perubahan datang dengan mendidik generasi baharu,” kata Garduno. “Berbicara tentang asal usul dan usaha pemuliharaan serta mengapa penting untuk melakukannya.”
Luis Zambrano, seorang pakar ekologi dari Universiti Kebangsaan Autonomi Mexico yang telah bekerja di Xochimilco selama beberapa dekad, mengatakan bahawa ladang-ladang ini kebanyakannya mampu menampung diri sendiri. Disuburkan oleh tasik, ia boleh menghasilkan tiga hingga lima kali hasil tanaman setahun tanpa memerlukan bahan kimia atau pengairan, katanya.
Selain itu, ekosistem Xochimilco memberikan manfaat kepada bandar yang pesat membangun itu. Banyak spesies burung dan ikan hidup subur di sana, dan jaringan terusan yang luas membantu menurunkan suhu keseluruhan bandar, katanya.
Namun kini, pada hujung minggu, lebih ramai pemain bola sepak menaiki perahu ke pulau-pulau dengan jersi dan kasut bola mereka berbanding petani yang menjaga tanaman.
Padang bola sepak kini merentang sejauh berbatu-batu sepanjang terusan selepas apa yang disebut Zambrano sebagai ‘peningkatan besar-besaran’ dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Di Xochimilco, ramai yang enggan berbicara tentang mengubah chinampa mereka menjadi padang bola sepak. Seorang pemilik tanah yang enggan dikenali kerana takutkan tindak balas undang-undang atau dari komuniti berkata bahawa mengekalkan chinampa supaya produktif memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan pelaburan kewangan serta hasil yang lebih rendah.
Sebaliknya, dia telah membuka beberapa perniagaan di tanahnya — padang bola sepak untuk permainan hujung minggu, gerai makanan, dan lawatan kayak untuk pelancong asing.
“Jika anda berjaya bertani, anda mungkin memperoleh AS$5,000 hingga AS$10,000 (100,000 hingga 200,000 peso) setahun,” kata Garduño. “Di kawasan pelancongan, anda boleh mendapat jumlah itu hanya dalam beberapa hujung minggu.”
Namun, menukar kawasan pertanian kepada padang bola sepak membawa kesan ekologi.
Walaupun kaedah pertanian tradisional mengelakkan penggunaan racun serangga dan baja, padang bola sepak memerlukan pendekatan yang berbeza.
“Kelihatannya tidak begitu berbahaya kerana tiada pembinaan,” kata Zambrano. Tetapi “ia sama merosakkan kerana jumlah bahan kimia yang digunakan dan pencemaran yang dihasilkan adalah sangat tinggi.”
Chinampa merupakan antara ciri penting yang membawa kepada pengiktirafan pusat bersejarah Bandar Mexico dan Xochimilco sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.
Namun, sebarang langkah perlindungan bergantung kepada pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan.
Carlos Vasquez, pengarah Kawasan Perlindungan Alam di bawah Jabatan Alam Sekitar Bandar Raya Mexico, berkata mereka sedang mengusahakan cadangan untuk menangani isu padang bola sepak tersebut.
“Kebanyakan aktiviti ini bertentangan dengan usaha pemuliharaan ekosistem. Kami sedang mencari cara untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti ini,” katanya.
Selepas seharian bekerja di bawah terik matahari, Garduno dan beberapa petani berdekatan berkumpul di bawah pondok sementara milik Garduno untuk menikmati hidangan ayam dan tortilla. Mereka berbincang mengenai tugasan mereka dan merangka kerja yang masih perlu dilakukan.
Juan Ávalos, 63, dan adiknya Salvador Gonzalez Ávalos, 55, telah mengerjakan chinampa sepanjang hidup mereka. Keluarga mereka memiliki beberapa petak tanah di kejiranan San Gregorio, Xochimilco. Setahun lalu, setelah diyakinkan oleh Garduno, kedua-dua adik-beradik itu menyertai Chinampa Refuge untuk mengamalkan pendekatan yang lebih holistik dalam pertanian mereka.
Salvador berkata pendekatan ini adalah peringatan berterusan akan warisan keluarganya dalam mengekalkan amalan kuno — sesuatu yang mereka ingin wariskan kepada cucu-cucu mereka.
“Itulah yang perlu kami usahakan sebagai datuk. Supaya mereka menyatu dengan kecintaan terhadap tanah ini.” – AP