Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjumpaan Anwar, Lawrence Wong perkukuh hubungan dua negara

    PUTRAJAYA, 12 JUN – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara negara.

    Lawrence Wong tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari semalam, yang merupakan lawatan sulung beliau selepas dilantik sebagai perdana menteri republik itu pada 15 Mei lepas.

    Ketibaan Wong bersama isterinya Loo Tze Lui di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana pada pukul 1 tengah hari disambut oleh Anwar, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan perjumpaan empat mata.

    Turut hadir di Kompleks Seri Perdana ialah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin.

    Lawatan Wong adalah atas jemputan Anwar. Lawatan tersebut menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin, dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia hujung tahun ini.

    Pada 2023 Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (AS$ 79.60 bilion). – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama Lawrence Wong (dua, kiri) dan isteri Loo Tze Lui di Seri Perdana hari ini sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Singapura itu ke Malaysia bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda