Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Program SSEAYP International General Assembly (SIGA) yang berlangsung di negara ini bermula 26 April hingga 28 April telah mengumpulkan bekas-bekas peserta Kapal Belia Asia Tenggara dari seluruh negara ASEAN dan Jepun.
Sehubungan itu, satu majlis perjumpaan antara peserta-peserta bekas kapal belia bagi tahun 1986 yang berada di negara ini bagi program berkenaan telah diadakan di salah sebuah hotel di negara ini, baru-baru ini.
Pertemuan tersebut diadakan bertujuan bagi membincangkan perkara berkaitan dengan program kapal belia untuk masa akan datang, selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka.
Turut hadir pada perjumpaan untuk bekas peserta kapal belia 1986 itu ialah Pemimpin Kebangsaan, Haji Taib bin Haji Othman.
Dengan kehadiran peserta dari luar negara seperti Jepun, Singapura dan juga Malaysia, majlis perjumpaan tersebut memberi peluang kepada mereka untuk bertemu kembali dengan keluarga angkat masing-masing semasa menyertai program tersebut.
Semasa perjumpaan tersebut, para peserta SIGA juga turut melahirkan perasaan kagum di atas perkembangan pembangunan Negara Brunei Darussalam dan berhasrat untuk kembali ke negara ini bersama keluarga masing-masing.