Thursday, July 17, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjumpaan cermin komitmen bersama

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), Gavin Williamson tiba di Negara Brunei Darussalam, hari ini, sebagai persinggahan singkat sebelum menghadiri Dialog Shangri-La yang akan diadakan di Republik Singapura bermula esok hingga 3 Jun.

    Hadir mengalu-alukan ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini ialah Menteri Pertahanan II (kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang seterusnya mengadakan perjumpaan dua hala.

    Semasa perjumpaan itu, kedua-dua pihak bersefahaman bahawa hubungan pertahanan dua hala adalah di peringkat yang baik dan kukuh.

    Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau.

    Gavin Williamson dalam kunjungan kali pertama ke negara ini juga mengambil kesempatan untuk bertemu dengan anggota tentera British di Seria.

    Gavin Williamson dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika mengadakan perjumpaan dua hala.

    Kunjungan tersebut menggariskan kepentingan aspek persahabatan dua hala dengan negara-negara di rantau ini, tanpa membezakan saiz, selain mencerminkan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan ketenteraan yang aktif di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom.

    Skop interaksi luas di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Tentera British di antaranya termasuklah eksesais bersama, latihan serta pertukaran profesional. Interaksi ini telah meningkatkan interoperabiliti dan hubungan persahabatan kedua-dua angkatan bersenjata.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Gavin Williamson akan bertemu lagi semasa Dialog Shangri-La pada hujung minggu ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda