Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan baik, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko telah mengadakan perjumpaan dengan Pemangku Pegawai Daerah Belait dan pegawai-pegawai lain di Jabatan Daerah Belait.
Dalam perjumpaan itu, Tuan Yang Terutama antara lain menyampaikan bahawa Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan sebagai wakil kerajaan Indonesia di Brunei, ingin terus meningkatkan hubungan baik dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya di Daerah Belait.
Menurutnya, warga Indonesia yang bekerja di negara ini terus berkembang dengan penglibatan mereka dalam bidang pembangunan ekonomi Brunei.
Setakat hari ini, di Daerah Belait, selain bekerja dalam sektor minyak dan gas, ramai pekerja Indonesia telah mula bekerja dalam industri pertanian.
Kawasan Belait akan menjadi salah satu program KBRI dengan kerjasama Daerah Belait untuk membawa petani dan pakar pertanian dari Indonesia untuk mengusahakan sawah.
