Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjumpaan kukuh kefahaman pelaksanaan pengintegrasian

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Hampir 700 orang pegawai dan tenaga pengajar Jabatan Pengajian Islam (JPI) telah menghadiri sesi perjumpaan bersama Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

    Para peserta terdiri daripada 145 orang guru besar, 174 orang ketua guru agama dan 326 orang guru agama yang terlibat dalam pelaksanaan pengintegrasian.

    Sesi perjumpaan bertujuan untuk mengukuhkan lagi kefahaman mengenai pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Agama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum yang telah mula dilaksanakan pada 1 November lalu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapannya menjelaskan bahawa kedua-dua kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan sama-sama berganding bahu untuk memastikan proses pelaksanaan pengintegrasian berjalan dengan lancar dan teratur.

    Beliau berkata, kementeriannya meyakini dari awal lagi bahawa sekolah agama sebagai sistem pendidikan dan pembelajaran agama formal yang sudah berjalan lebih 60 tahun akan terus wujud.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Salah seorang pegawai dan tenaga pengajar JPI mengajukan persoalan semasa sesi perjumpaan tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Perkara yang mendasar ini ditegaskan lagi oleh Kebawah Duli Yang Maha Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah semasa keberangkatan tidak berjadual Baginda ke KHEU baru-baru ini, bahawa “Tidak ada sebarang tujuan untuk menghapuskan sekolah agama,” yang menurut Baginda, “Sekolah agama adalah rangkaian dari MIB dan salah satu jati diri negara yang kita banggakan.”

    “Kemahuan atau hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sedemikian akan menjadi pemangkin semangat dan usaha KHEU mengemaskan lagi persekolahan agama,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Turut hadir pada sesi perjumpaan tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh serta pegawai-pegawai kanan dari KHEU dan JPI.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi penerangan dan nasihat daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Kemudian, sesi perjumpaan juga diselajurkan dengan sesi soal jawab antara para tenaga pengajar yang hadir bersama pihak kementerian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda