Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Saya nak luahkan sedikit cerita tentang perkahwinan saya yang tidak direstui ibu bapa.
Semuanya bermula apabila saya bawa pasangan saya pulang ke rumah untuk dikenalkan kepada ibu ayah.
Harapan saya masa tu tinggi sangat, saya ingat mesti mereka suka sebab saya sayang sangat dengan dia. Tapi tidak disangka, pandangan ibu ayah terus berubah.
Keadaan menjadi tegang dan saya ingat lagi masa tu ibu marah sampai jiran sebelah boleh dengar.
Kami dah bersama hampir tiga tahun. Dia baik, sokong saya, dan selalu buat saya rasa tenang. Tapi ibu ayah saya nak saya kahwin dengan orang yang ada kerjaya tetap, latar belakang baik dan setaraf dengan keluarga kami.

Tapi pasangan saya, semua tu tidak cukup. Saya cuba pujuk dan jelaskan, tapi mereka tetap tidak boleh terima.
Rasa sedih tu memang ada. Kadang rasa macam putus asa sebab tidak mahu mengecewakan ibu ayah. Tapi bila tengok pasangan saya yang sentiasa sabar dan bagi semangat, saya kuat balik.
Kami kahwin secara ringkas sahaja, tanpa restu mereka. Sampai sekarang dah setahun, Alhamdulillah kami bahagia walaupun sederhana.
Kadang-kadang saya rindu peluk-an ibu, rindu nasihat ayah. Tapi saya tidak pernah menyesal pilih dia. Saya harap suatu hari nanti ibu ayah boleh terima dan restui kami.
Adakah perbuatan kami ini salah?
Terima kasih sebab sudi baca curahan hati saya ni.
Damia
NASIHAT DANG MP
Waalaikumussalam dan salam sejahtera Damia.
Pertama sekali, saya ucap terima kasih atas keikhlasan Damia berkongsi kisah yang begitu peribadi dan menyentuh hati.
Perkahwinan tanpa restu ibu bapa sememangnya satu keputusan yang sangat sukar dan memerlukan kekuatan emosi yang besar.
Apa yang Damia lalui bukanlah perkara yang mudah dan juga bukan perkara asing kerana mungkin ramai juga yang bergelut dalam dilema antara cinta dan keluarga.
Adalah penting untuk memahami bahawa setiap individu berhak memilih pasangan hidup yang dipercayai boleh membawa kebahagiaan dan ketenangan jiwa.
Seperti yang awda ceritakan, jelaslah bahawa pasangan awda memberikan sokongan emosi dan menjadi sumber kekuatan ketika awda berasa goyah. Itu adalah asas penting dalam sesebuah perkahwinan yang sihat.
Namun begitu, keredaan dan restu ibu bapa juga adalah sesuatu yang sangat bernilai dalam budaya dan agama kita.
Ia bukan sekadar simbolik, tetapi juga membawa keberkatan dan keharmonian jangka panjang. Keputusan awda untuk berkahwin tanpa restu mungkin tidak salah secara mutlak, tetapi ia boleh membawa cabaran dari sudut hubungan kekeluargaan dan emosi.
Apa yang boleh Damia lakukan sekarang adalah terus berusaha membina dan membaiki hubungan yang baik semula dengan ibu bapa.
Tunjukkan bahawa awda dan pasangan sedang hidup bahagia, bertanggungjawab dan tidak lupa untuk menghormati mereka walaupun mereka pernah menolak pilihan awda.
Doa juga senjata utama – mohon agar hati mereka dilembutkan. Masa, kesabaran dan keikhlasan seringkali menjadi penawar kepada luka dan salah faham yang pernah terjadi.
Teruskan usaha berbuat baik dan mengambil hati ibu bapa awda.
Saya berharap semoga satu hari wujud ruang untuk pengampunan dan penerimaan dari keluarga Damia dan pasangan.