Wednesday, February 12, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkampungan Cina Hainan di Terengganu kaya khazanah

    CHUKAI – Wujud lebih satu abad lepas, ramai yang tidak menyangka Kampung Baru Ayer Jerneh dekat sini, yang majoritinya dihuni penduduk Melayu sebenarnya menyimpan khazanah istimewa, sebuah perkampungan Cina Hainan terbesar dan tertua di Malaysia.

    Terletak tujuh kilometer dari pekan Kemasik dekat sini, perkampungan itu diasaskan sekumpulan penduduk kepulauan Hainan di Selatan China yang berhijrah ke Terengganu pada awal 1900an untuk mencari penempatan baharu.

    Keindahan alam semula jadi di kawasan itu menyebabkan mereka ‘jatuh cinta’ dan mula meneroka dan mengusahakan kebun kelapa sawit serta getah yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Terengganu, sekali gus menjadikan Kemasik pusat pentadbiran Kemaman pada satu ketika dahulu.

    Bagaimanapun akibat peralihan zaman, penduduk Cina Hainan di kampung itu yang pada mulanya kira-kira 6,000 orang, kini hanya tinggal lebih kurang 500 orang, dengan kebanyakan adalah daripada generasi ketiga dan keempat.

    Pengerusi Pertubuhan Hainan Kemasek, Lim Tau Khang, 48, berkata pembangunan yang pesat dan peningkatan taraf pendidikan menyebabkan golongan muda banyak berpindah ke bandar dan kini perkampungan itu banyak didiami warga emas.

    Gambar Bernama
    Khaw Kian Hup menceritakan sejarah masyarakat Cina Hainan di Kampung Baru Ayer Jerneh. – Bernama
    Kampung Baru Ayer Jerneh majoritinya dihuni oleh penduduk Melayu sebuah perkampungan Cina Hainan terbesar dan tertua di Malaysia. – Bernama
    Suasana tenang dan sunyi di Kampung Baru Ayer Jerneh yang menjadi penempatan masyarakat Cina Hainan. – Bernama

    “Anak muda di sini apabila tamat sekolah mereka belajar di peringkat lebih tinggi sehingga dapat ijazah dan dengan kelayakan yang baik itu tak dapat dimanfaatkan di sini kerana mereka dapat peluang pekerjaan di bandar dan kebanyakannya di luar Terengganu seperti Pahang, Johor dan Kuala Lumpur.

    “Jadi, yang tinggal di sini hanya orang tua dan sedikit sahaja orang muda yang mewarisi dan berusaha untuk memelihara khazanah keturunan Hainan terbesar di Malaysia ini,” katanya kepada Bernama.

    Lim yang merupakan generasi keempat berkata khazanah yang ditinggalkan nenek moyang mereka antaranya termasuklah dua deretan rumah kedai dua tingkat yang diperbuat daripada kayu, seakan-akan sebuah pekan kecil purba China.

    Dihiasi dengan pintu gerbang yang membawa nama kampung bagi menyambut pengunjung di pintu masuk, orang ramai yang mengunjungi Kampung Baru Ayer Jerneh pasti tertarik dengan keunikan rumah kedai kayu itu yang masih mengekalkan seni binaannya sejak awal 1900.

    “Seni bina unik rumah kedai tersebut menarik ramai pelancong luar untuk melihat sendiri dengan lebih dekat perkampungan Hainan serta menjadi lokasi pilihan jurugambar untuk merakam suasana kampung yang memberikan pengalaman seolah-olah awda sedang mengunjungi kampung tradisional yang terdapat di negara China.

    “Namun, hanya sebahagian rumah kedai di old town itu yang masih digunakan kerana struktur rumah kedai tersebut tidak mudah dijaga dan dipelihara kerana dibina dengan kayu,” kata Lim.

    Lebih menarik, bekas ketua Kampung Ayer Jerneh, Khaw Kian Hup, 68, berkata perkampungan itu akan kembali meriah pada musim perayaan Tahun Baharu Cina dengan perhiasan tanglung selain hari keputeraan dewa Tian Hou Sheng Mu dan Shui Wei Sheng Niang yang akan disambut secara besar-besaran.

    “Hari keputeraan ini biasanya disambut pada bulan kedua dan ke-10 dalam kalendar Cina dan kita ada persembahan tradisional opera, pertunjukan pentas selama tiga hingga lima malam, selain perarakan tokong yang akan melalui setiap rumah untuk memberi kan perlindungan.

    “Selepas pandemik COVID-19, perarakan dan persembahan terhenti sebab ia menelan belanja yang banyak untuk memanggil sami datang dan membayar pelakon opera juga memerlukan belanja RM8,000 sehari, jadi kami tangguhkan dahulu buat sementara sehingga peroleh bajet yang mencukupi,” katanya.

    Justeru, bekas guru besar di Sekolah Kebangsaan Ayer Jerneh itu berharap perkampungan yang masih mengekalkan warisan nenek moyang itu dapat dibangunkan sebagai ekopelancongan, sekali gus membantu penduduk setempat.

    Khaw yang menetap di kampung warisan itu sejak 1979 dan berkahwin dengan generasi ketiga penduduk Hainan itu berkata idea ekopelancongan itu telah dibawa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Rosli Othman, namun tertangguh pada 2018 selepas pilihan raya umum (PRU).

    “Kemasik itu mempunyai alam semula jadi yang indah seperti Bukit Harimau Menangis untuk didaki, air terjun untuk diterokai dan kampung warisan Hainan yang unik, jadi ia satu pelancongan yang boleh diwujudkan untuk memberikan faedah kepada penduduk tempatan.

    “Malah, kampung warisan Cina Hainan itu telah menjadi tempat tumpuan pelancong menikmati juadah popular Nasi Ayam Hainan asli yang hanya boleh didapati setiap Selasa sehingga pelanggan terpaksa buat tempahan awal semata-mata untuk menikmati makanan tradisi itu, kalau lambat pasti kempunan,” katanya.

    Sementara itu, guru tadika Wang Kwee Fong, 54, berkata biarpun lebih 100 tahun penduduk Cina Hainan berjiran dengan kaum Melayu, mereka tidak pernah sekali bertelingkah, malah menghormati dan meraikan bangsa masing-masing umpama adik-beradik.

    “Kita di sini orang kampung, kami tidak minta banyak hanya inginkan suasana yang aman dan damai, peluang sama rata dan pembangunan yang lebih baik kepada penduduk setempat untuk mencari rezeki dan mempertahankan warisan yang ada,” katanya.

    Kampung Ayer Jerneh di Kemasik adalah satu daripada daerah di bawah Parlimen Kemaman yang sedang berhadapan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

    Dahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Disember lalu bagi hari mengundi untuk PRK yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU ke-15. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda