Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkampungan nelayan diancam pencerobohan air laut

    KHARO CHAN, PAKISTAN – Kerak garam berderak di bawah kaki ketika Habibullah Khatti berjalan ke kubur ibunya untuk mengucapkan selamat tinggal terakhir sebelum dia meninggalkan kampung kepulauan yang kering di delta Indus Pakistan.

    Pencerobohan air laut ke dalam delta, di mana Sungai Indus bertemu dengan Laut Arab di selatan negara itu, telah mencetuskan kemusnahan komuniti pertanian dan nelayan.

    “Air masin telah mengelilingi kami dari keempat-empat bahagian,” beritahu Khatti kepada AFP dari kampung Abdullah Mirbahar di bandar Kharo Chan, sekitar 15 kilometer dari tempat sungai mengalir ke laut.

    Ketika stok ikan merosot, lelaki berusia 54 tahun itu beralih kepada jahitan sehingga pekerjaan itu juga menjadi mustahil dengan hanya empat daripada 150 isi rumah yang tinggal.

    “Pada waktu petang, kesunyian yang menyeramkan menyelubungi kawasan itu,” katanya, ketika anjing liar berkeliaran di rumah kayu dan buluh yang terbiar.

    Haji Karam Jat (kiri) menggunakan batang buluh untuk membina rumah baharu di Bandar Keti. – AFP
    Haji Karam Jat (kanan), seorang nelayan, dan ahli keluarga berjalan di tambak di Bandar Keti. – AFP
    Pemandangan umum menunjukkan bakau yang baru ditanam di Keti Bandar di daerah Thatta berdekatan delta Indus, selatan Pakistan. – AFP
    Gambar dari udara menunjukkan rumah terbiar di salah sebuah kampung Kharo Chan di delta Indus, selatan Pakistan. – AFP
    Seorang nelayan menggunakan rakit sementara ketika pulang selepas mengumpul kayu bakau berdekatan Laut Arab di rantau pantai Karachi. – AFP
    Muhammad Saleem, ketua kampung tempatan bercakap kepada AFP sementara menunjukkan bakau yang baru ditanam di Bandar Keti. – AFP
    Habibullah Khatti, berjalan di atas kerak garam yang terbentuk di kampung Abdullah Mirbahar di bandar Kharo Chan. – AFP
    Penduduk tempatan membawa bekas air berjalan menuju ke bot yang membawa air minum ke salah sebuah kampung Kharo Chan. – AFP

    Kharo Chan pernah membentuk salah satu daripada kira-kira 40 kampung, tetapi kebanyakannya telah lenyap di bawah air laut yang semakin meningkat.

    Populasi bandar itu berkurangan daripada 26,000 pada 1981 kepada 11,000 pada 2023, menurut data banci.

    Khatti sedang bersiap sedia untuk memindahkan keluarganya ke Karachi yang berdekatan, bandar terbesar di Pakistan, dan sebuah bandar yang semakin berkembang pesat dengan ketibaan pendatang ekonomi, termasuk dari delta Indus.

    Forum Nelayan Pakistan, yang menyokong komuniti nelayan, menganggarkan bahawa puluhan ribu orang telah dipindahkan dari daerah pantai delta.

    Bagaimanapun, lebih daripada 1.2 juta orang telah dipindahkan dari keseluruhan rantau delta Indus dalam tempoh dua dekad yang lalu, menurut kajian yang diterbitkan pada Mac oleh Institut Jinnah, sebuah badan pemikir yang diketuai oleh bekas Menteri Perubahan Iklim.

    Aliran air ke hilir delta telah menurun sebanyak 80 peratus sejak 1950an akibat daripada pengairan terusan, empangan kuasa hidro dan kesan perubahan iklim ke atas pencairan glasier dan salji, menurut kajian 2018 oleh Pusat Kajian Lanjutan Air AS-Pakistan.

    Ia telah membawa kepada gangguan air laut yang teruk.

    Kemasinan air telah meningkat sebanyak kira-kira 70 peratus sejak 1990, menjadikannya mustahil untuk menanam tanaman dan menjejaskan dengan teruk populasi udang dan ketam.

    “Delta itu semakin tenggelam dan mengecut,” kata Muhammad Ali Anjum, ahli pemuliharaan WWF tempatan.

    TIADA PILIHAN LAIN

    Bermula di Tibet, Sungai Indus mengalir melalui rantau Kashmir yang dipertikaikan sebelum merentasi seluruh Pakistan.

    Sungai dan anak sungainya mengairi kira-kira 80 peratus daripada tanah ladang negara, menyokong berjuta-juta mata pencarian.

    Delta, yang dibentuk oleh sedimen kaya yang dimendapkan oleh sungai ketika ia bertemu dengan laut, pernah satu ketika dahulu sesuai untuk pertanian, memancing, bakau dan hidupan liar.

    Namun lebih daripada 16 peratus tanah yang subur telah menjadi tidak produktif disebabkan air laut yang masuk ke daratan, menurut kajian agensi air kerajaan pada 2019.

    Di pekan Keti Bandar, yang terbentang ke pedalaman dari pinggir air, lapisan putih kristal garam menutupi tanah.

    Bot membawa masuk air yang boleh diminum dari kawasan jauh dan penduduk kampung membawanya pulang menggunakan keldai.

    “Siapakah yang rela meninggalkan tanah air mereka?” kata Haji Karam Jat yang rumahnya ditelan kenaikan paras air yang semakin tinggi.

    Dia membina semula rumahnya lebih jauh ke pedalaman, menjangkakan lebih banyak keluarga akan menyertainya.

    “Seseorang hanya meninggalkan tanah air mereka apabila mereka tidak mempunyai pilihan lain,” katanya kepada AFP.

    CARA HIDUP

    Pemerintah kolonial British adalah kumpulan yang pertama mengubah aliran Sungai Indus dengan terusan dan empangan, diikuti baru-baru ini dengan berpuluh-puluh projek kuasa hidro.

    Awal tahun ini, beberapa projek terusan pimpinan tentera di Sungai Indus dihentikan apabila petani di kawasan rendah sungai di wilayah Sindh membantah.

    Untuk memerangi kemerosotan Lembangan Sungai Indus, kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melancarkan ‘Inisiatif Indus Hidup’ pada 2021.

    Satu projek intervensi memberikan tumpuan kepada pemulihan delta dengan meng-atasi kemasinan tanah serta melindungi pertanian dan ekosistem tempatan.

    Kerajaan Sindh kini sedang menjalankan projek pemulihan bakau sendiri, bertujuan untuk memulihkan hutan yang berfungsi sebagai sekatan semula jadi terhadap pencerobohan air masin.

    Walaupun hutan bakau dipulihkan di beberapa kawasan pinggir pantai, rampasan tanah dan projek pembangunan kediaman mendorong kerja-kerja pembersihan di kawasan lain.

    Sementara itu, negara jiran India menimbulkan ancaman terhadap sungai dan deltanya, selepas membatalkan perjanjian air 1960 dengan Pakistan yang membahagikan kawalan ke atas lembangan sungai Indus.

    Ia mengancam untuk tidak mengembalikan perjanjian itu dan membina empangan di hulu, sekali gus menyekat aliran air ke Pakistan, yang menggelarnya sebagai ‘tindakan perang.’

    Selain rumah mereka, masyarakat juga telah kehilangan cara hidup yang mempunyai hubungan erat dengan delta, kata aktivis iklim Fatima Majeed, yang bekerja dengan Forum Nelayan Pakistan.

    Wanita, khususnya, yang selama beberapa generasi telah menjahit jaring dan pukat serta membungkus hasil tangkapan hari itu, bergelut untuk mencari kerja apabila mereka berhijrah ke bandar, kata Majeed, yang datuknya memindahkan keluarga dari Kharo Chan ke pinggir Karachi.

    “Kami bukan sahaja kehilangan tanah kami, kami telah kehilangan budaya kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda