Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Perkampungan terapung’ dijangka tempatkan atlet Sukan Asia 2026

    TOKYO, 5 JUN – Para atlet Sukan Asia tahun depan di Jepun akan berada di kapal persiaran ‘perkampungan terapung’ dan dalam kontena kapal, kata seorang pegawai penganjur kepada AFP.

    Rancangan itu akan menyaksikan kira-kira 4,600 atlet dan pegawai ditempatkan di atas kapal sepanjang temasya itu, yang diadakan di Nagoya dan kawasan Aichi dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.

    Penganjur akan memajak kapal pesiar mewah yang akan berlabuh di pelabuhan Nagoya.

    Seramai 2,400 orang lagi akan tinggal di penginapan sementara yang diperbuat daripada kontena penghantaran dalam jarak berdekatan dengan dua lokasi itu menempatkan kira-kira separuh daripada 15,000 atlet dan pegawai yang dijangka pada temasya itu.

    Selebihnya akan berada di penginapan lain, termasuk di Tokyo di mana pertandingan renang akan berlangsung.

    Penganjur tempatan berminat untuk mengelakkan kos membina perkampungan atlet tradisional, tetapi ketua Olimpik Asia memberi amaran sebarang alternatif adalah perlu bagi memastikan atlet dapat bertemu dan bergaul bersama.

    Naib Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Sukan Aichi-Nagoya, Kazuhiro Yagi, berkata kepada AFP mereka telah mendengar pendapat dan mahu menyediakan perkhidmatan yang memuaskan hati mereka.

    “Kapal persiaran dan kontena penginapan berada di lokasi yang berbeza, tetapi jaraknya hanya kira-kira 10 minit dengan menggunakan bas secara ulang-alik,” katanya.

    “Saya tidak fikir ia akan menjadi masalah sama sekali untuk berinteraksi dengan para atlet lain.

    “Terdapat zoo hidupan laut dan pelbagai kemudahan hiburan lain di kawasan itu. Saya fikir mereka akan dapat berehat, bersantai dan berkumpul,” tambahnya.

    Sukan Asia 2023 di Hangzhou China mempunyai kira-kira 12,000 atlet, menjadikan sukan terbesar dalam sejarah, dengan lebih banyak pesaing daripada Sukan Olimpik. – AFP

    Gambar fail bertarikh 23 September 2023 menunjukkan upacara pembukaan Sukan Asia 2022 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di Hangzhou di wilayah Zhejiang timur China. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda