(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SETIAP ibadat dalam Islam mempunyai kelebihan dan fadilatnya yang tersendiri. Dengan rahmat Allah jua, kadang-kadang amalan yang sedikit (pada ukuran dan pertimbangan manusia) namun ganjarannya amat besar di sisi Allah Ta‘ala. Kenalah kita manusia menerokai dan mencarinya supaya jangan terlepas dengan peluang-peluang untuk memperolehi ganjaran yang amat besar itu.
Begitulah halnya dengan fadilat atau kelebihan yang terdapat dalam perkara-perkara sunat selepas berwuduk. Kenapa peluang itu tidak direbut atau dengan kata lain jangan ia dilepaskan begitu saja. Antara perkara-perkara sunat selepas mengambil wuduk ialah:
- Membaca doa selepas berwuduk
Sunat membaca doa setelah sempurna berwuduk. Adapun cara membacanya ialah dengan menghadap kiblat dan mengangkat atau menadah kedua belah tangan ke langit. Manakala pandangan kedua mata ditujukan ke langit sekalipun dia seorang yang buta. Doa ini sunat dibaca sebaik sahaja selesai berwuduk tanpa diselangi oleh jangka masa yang terlalu lama menurut kebiasaan. Doa ini juga sunat disudahi dengan selawat dan salam ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Adapun lafaz doa selepas wuduk itu ialah,
Ash-Hadu ‘Alla ‘ilaha ‘illallah, Wahdahu La-Shariika-Lah, Wa ‘Ash-Hadu ‘Anna Muhammadan ‘Abduhu Wa Rasuluh. Allahummaj ‘Al-Nii Minat-Tawwabiin, Waj-‘Al-Nii Minal-Mutatahiriin, Waj-‘Al-Nii Min-‘Ibadikas-Salihiin
Kelebihan membaca doa selepas wuduk
Adapun antara kelebihan membaca doa ini ada disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu, sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya:
“Tiada sesiapapun di antara kamu yang berwuduk lalu dia menyempurnakan wuduk tersebut (dengan sebaik-baiknya), kemudian dia mengucapkan:
‘Ash-hadu an la ilaaha illallah wa asyhadu anna Muhammad Rasulullah.’
(maka tiada ganjaran) melainkan dibukakan untuknya pintu-pintu syurga yang lapan, dia akan masuk (ke syurga) melalui mana-mana pintu yang disukainya.” (Hadis riwayat Muslim)
- Membaca surah al-Qadr
Setelah selesai membaca doa selepas berwuduk, sunat dibaca surah al-Qadr sebanyak tiga kali dengan menghadap kiblat tetapi tidak perlu menadah tangan dan memandang ke atas. Ini berdasarkan sebuah hadis yang ditakrif oleh ad-Dailami bahawa sesiapa yang membacanya setelah selesai berwuduk sebanyak:
Satu kali: Dia tergolong antara para ash-shiddiqun, iaitu orang-orang yang benar-benar beriman (zahir dan batin).
Dua kali: Dimasukkan dalam golongan para syuhada’.
Tiga kali: Allah mengumpulkannya pada hari Kiamat kelak bersama-sama para anbiya’.
Setelah itu disunatkan membaca doa yang membawa erti, “Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku (supaya aku merasa selesa), berkatilah rezekiku dan janganlah Engkau fitnahkan aku dengan apa jua perkara yang Engkau jauhkannya daripadaku.”
- Sembahyang sunat wuduk
Setelah sempurna berwuduk, sunat mendirikan sembahyang sunat wuduk sebanyak dua raka‘at. Sembahyang sunat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang. Ia dikerjakan dalam waktu yang terdekat, iaitu setelah selesai daripada mengambil wuduk.
Adapun fadilat (kelebihan) mengerjakan sembahyang dua raka‘at setelah berwuduk adalah sangat besar seperti yang telah dinyatakan dalam beberapa hadis antaranya:
Memberi peluang untuk masuk ke syurga
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan perbualan antara Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dengan Bilal Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepada Bilal ketika (selesai) sembahyang Fajar (Subuh): “Wahai Bilal, ceritakanlah padaku amalan apa yang paling kamu harapkan melakukannya dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi sepasang terompahmu di hadapanku di dalam Syurga.”
Bilal berkata: “Tidak ada amalan yang aku lakukan yang paling aku harapkan kecuali (ada satu amalan, iaitu) aku tidak berwuduk satu wuduk pun pada waktu malam ataupun siang, melainkan aku sembahyang dengan wuduk itu, sepertimana yang telah ditetapkan untukku melakukan sembahyang (sama ada fardu atau sunat pada iktikad Bilal).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
(ii) Manakala dalam riwayat lain daripada Abu Buraidah bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam memanggil Bilal Radhiallahu ‘anhu lalu bertanya bagaimanakah dia mendahului Baginda di syurga. Bilal Radhiallahu ‘anhu pun menjawab yang maksudnya:
“Dan aku tidak pernah didatangi hadats melainkan aku (segera) mengambil wuduk bilamana aku berhadats. Dan aku mengambil pendirian (kerana rasa syukur, aku membuat pilihan) bahawa demi Allah ke atasku (sembahyang) dua raka‘at.”
Lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Dengan kedua-dua amalan itu.” (iaitu berwuduk apabila berhadats dan sembahyang dua raka‘at setiap kali berwuduk maka Bilal memperolehi apa yang didapatnya).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dengan riwayat ini merupakan satu anjuran supaya orang-orang menyukai dan mengamalkan perbuatan yang dibuat oleh Bilal itu.
Diampunkan dosa-dosa kecil
Riwayat daripada Humran, hamba kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu bahawa dia melihat tuannya itu berwuduk kemudian beliau berkata yang maksudnya:
“Aku (‘Utsman) telah melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam mengambil wudhu seperti cara wudhuku ini.”
Kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian (setelah berwuduk) dia sembahyang dua raka‘at, yang mana dia tidak berkata-kata pada dirinya dalam kedua-dua raka‘at sembahyangnya itu, nescaya diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun maksud “dia tidak berkata-kata pada dirinya” ialah tidak memikirkan perkara yang berkaitan dengan keduniaan dan perkara yang tidak ada hubung-kait dengan sembahyang (dengan sengaja). Manakala yang dimaksudkan dengan “diampunkan baginya dosanya” itu ialah dosa-dosa kecil.
Penutup
Dengan penjelasan ini nyatalah fadilat atau kelebihan yang terdapat dalam perkara-perkara sunat selepas berwuduk itu adalah sangat besar dan menguntungkan, padahal ia adalah amalan yang amat mudah dan tidak membebankan. Mudah-mudahan dengan penjelasan yang ringkas ini dapat memberi kesedaran dan membuka hati kita semua untuk sama-sama merebut kelebihan-kelebihan ini.