Perkasa belia dalam sektor pertanian

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H. & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat mengambil berat serta menekankan penyertaan golongan belia muda dalam sektor pertanian.

Bagi memastikan penyertaan golongan belia terus meningkat dalam sektor pertanian, Baginda Sultan, hari ini, berkenan mengadakan lawatan ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Agro-Teknologi, Wasan.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja di IBTE, Kampus Agro-Teknologi, Wasan dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.

Semasa lawatan berkenaan, Baginda Sultan berkenan meninjau dan menerima sembah penerangan di beberapa buah kawasan di kampus itu termasuk unit teknologi makanan yang mempamerkan produk-produk hasil IBTE Kampus Agro-Teknologi termasuk makanan dan penghasilan biskut Roselle.

Baginda Sultan ketika berkenan mendengarkan sembah penerangan daripada pelajar IBTE, Kampus Agro-Teknologi Wasan, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mendengarkan sembah penerangan mengenai herba semasa lawatan ke kampus berkenaan, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Ketika berkenan melawat ke unit penghasilan tanaman, Baginda diberikan sembah taklimat mengenai Ladang Bruherbal dan tanaman herba serta berkenan melawat salah sebuah rumah hijau kampus berkenaan yang mempamerkan penanaman timun dan tembikai (sikoi) menggunakan kaedah fertigasi dan struktur hidroponik di polytunnel.

Baginda kemudian berkenan berangkat melawat dan diberikan sembah penerangan mengenai Pameran Mini Projek Agrobiz iaitu sebuah projek inisiatif kerjasama di antara IBTE dan LiveWIRE Brunei yang dilaksanakan pada 23 Januari lalu melibatkan penanaman padi dan pembangunan usahawan muda masa hadapan dalam bidang pertanian bagi mengikut jejak langkah alumni IBTE, Kampus Agro-Teknologi yang lain. Projek Agropreneur Padi AgroBiz LiveWIRE bermatlamat untuk menyediakan peluang latihan bagi usahawan pertanian Brunei dan pada masa yang sama, menyumbang kepada strategi negara bagi sekuriti makanan untuk meningkatkan sara diri pengeluaran padi kepada 30 peratus menjelang 2025.

Projek AgroBiz yang dibiayai oleh Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) menerusi LiveWIRE Brunei akan berjalan bagi tempoh tiga setengah tahun atau kira-kira enam pusingan musim penanaman. Peserta yang terpilih akan dilatih oleh pakar dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan pengurusan ladang komersial.

Pusingan penanaman pertama akan bermula pada Oktober nanti dan akan diuruskan oleh kira-kira 15 orang pelajar di bawah pengawasan seorang pengurus projek yang dilantik.

Setiap peserta skim AgroBiz akan ditawarkan untuk menerima Skim Pembiayaan LiveWIRE Business Award Startup (BasFs) untuk memulakan perniagaan mereka sendiri apabila berjaya menamatkan kursus berkenaan.

LiveWIRE AgroBiz dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program perkembangan LiveWIRE Brunei ke dalam sektor pertanian dan penyelesaian tenaga. Pada masa yang sama, LiveWIRE Brunei adalah komited untuk menyokong pembangunan sebuah ekosistem yang menyediakan peluang bagi usahawan pertanian Brunei muda daripada IBTE Agro-Teknologi untuk membangunkan dan mengekalkan perniagaan mereka.

Baginda seterusnya berkenan meneruskan lawatan ke klinik haiwan di mana Baginda diberikan sembah penerangan oleh para pelajar IBTE, Kampus Agro-Teknologi mengenai dengan aktiviti yang dikendalikan oleh klinik berkenaan serta menyaksikan spesimen yang dipamerkan dalam Muzium Tulang Mini.

Baginda juga berkenan melawat inkubator agrometro di Kawasan Kerja Bengkel di mana Baginda berkenan dijunjung oleh pengurus syarikat serta alumni IBTE Kampus Agro-Teknologi dan diikuti dengan sembah taklimat mengenai Projek Crop Tech tahun ke-2 dan Taman Sekolah Hijau iaitu sebuah projek yang dilaksanakan oleh Pusat STEP.

Baginda Sultan kemudian turut berkenan untuk beramah mesra dengan para usahawan alumni IBTE, Kampus Agro-Teknologi iaitu Syarikat Sinaran Suria, Syarikat Agrometro, Syarikat Seri Asmah, Znetic Enterprise & Znetic Detailing Solutions serta Next Generation (Generasi Pelapis).