Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Dalam usaha untuk mengetengahkan isu-isu perubahan iklim dan memperkasakan belia Asia Tenggara untuk menjadi pemimpin iklim serantau, Kedutaan Amerika Syarikat (AS)di Negara Brunei Darussalam bekerjasama dengan Big BWN Project dan Biji-Biji Initiative yang berpangkalan di Malaysia untuk melancarkan Sidang Kemuncak Inisiatif Kepimpinan Asia Tenggara Muda Brunei (YSEALI) 2022 yang akan berlangsung dari Mac hingga September 2022.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, sidang kemuncak itu akan menumpukan kepada isu-isu perubahan iklim di Asia Tenggara dan akan memperkasakan lebih daripada 80 orang belia untuk menjadi pemimpin iklim serantau yang dilengkapi dengan peralatan untuk menangani sebuah planet yang menjadi semakin panas.
Sidang kemuncak itu akan menawarkan pengalaman pembelajaran yang mendalam yang akan mengembangkan lagi keupayaan para peserta untuk mengemudi kerumitan isu-isu iklim.
Kuasa usaha Kedutaan AS Bandar Seri Begawan, Emily Fleckner berkata pihaknya sedang mencari alumni YSEALI yang berdaya tahan serta komited untuk mengetengahkan penyelesaian iklim inovatif dan akan memacu usaha bersepadu bagi mitigasi iklim di Asia Tenggara.
Sehubungan itu, para peserta yang layak daripada 11 buah negara anggota YSEALI iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam, boleh memohon bagi program berkenaan yang merangkumi aktiviti maya pra-sidang kemuncak pada Mac hingga Mei 2022, sidang kemuncak pada Jun 2022 dan aktiviti kesinambungan pasca-sidang kemuncak pada Julai hingga September 2022.
Para peserta berpeluang untuk memohon bagi satu daripada dua pilihan trek program yang amat menguntungkan. Trek Small Grants akan membekal setiap satu daripada lima buah pasukan yang menang dengan $2,000 untuk melaksanakan inisiatif pemulihan hijau mereka.
Trek Career Fellowship pula akan menjemput 12 orang peserta untuk menyertai organisasi-organisasi tindakan iklim di rantau ini yang bekerja bagi penyelesaian perubahan iklim inovatif.
Kenyataan menjelaskan bahawa pakar-pakar perubahan iklim serantau akan menyertai sidang kemuncak berkenaan di mana mereka akan menawarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang bermanfaat serta juga peluang untuk menubuhkan rangkaian dengan para profesional yang berfikiran serupa.
Anggota alumni YSEALI yang berminat boleh melayari laman sesawang, mereka.my/yseali-summit-2022, untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftarkan minat mereka di mana permohonan akan ditutup pada 31 Januari.