Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Kemajuan pesat teknologi telah merubah kehidupan kita, menjana peluang-peluang dan cabaran-cabaran baharu, oleh itu, amat penting untuk kita mempersiapkan belia kita supaya dapat mengemudi dan memanfaatkan perubahan itu sebagai kelebihan mereka.
Ke arah itu, kita mempunyai satu matlamat iaitu untuk memperkasa belia kita dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi berjaya dalam era digital ini.
Dunia berubah dengan pesat yang diterajui oleh kemajuan teknologi yang merubah setiap aspek kehidupan kita dan dalam zaman digital ini, permintaan bagi profesional ICT berkemahiran adalah amat tinggi dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan golongan muda kita dipersiapkan bagi memenuhi permintaan itu.
Seruan dan penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dalam ucapannya di Perasmian Bengkel Empowering Youth for the Digital Era: Building Capacity in Low-Code and No-Code Technology to Bridge the ICT Skills Gap, yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.
Kemahiran ICT adalah amat penting, jelasnya lagi, di mana ia merupakan asas bagi pembangunan dan inovasi masa hadapan. Oleh itu, dengan melabur dalam pembangunan kemahiran dan pendidikan belia, kita melabur dalam masa depan negara dan kemakmuran masyarakat kita, tekannya.

Mengulas mengenai bengkel itu, Dr Haji Azman berkata ia adalah selaras dengan wawasan Brunei untuk menjadi sebuah negara pintar.
Oleh itu, dengan memupuk literasi digital dan melengkapkan belia kita dengan kemahiran canggih dalam teknologi low-code dan no-code, kita mengambil langkah konkrit ke arah merealisasikan wawasan 2035.
Beliau seterusnya berkata bahawa matlamat kita adalah untuk merubah Brunei menjadi sebuah negara yang dikenali dengan pencapaian warganya yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan serta juga kualiti kehidupannya.
Penggunaan platform low-code dan no-code memperluaskan akses kepada teknologi yang membolehkan individu tanpa latar belakang pengaturcaraan meluas untuk menjana dan berinovasi.
Keterangkuman itu, jelasnya, adalah amat penting bagi memperluaskan penyertaan dalam ekonomi digital dan memupuk sebuah budaya pembelajaran berterusan serta penyesuaian diri.
Ke arah itu, beliau menggalakkan para peserta bengkel untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada mereka kerana kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperoleh mereka itu adalah tidak ternilai bukan sahaja dalam kerjaya profesional tetapi juga dalam pertumbuhan peribadi mereka.

