Oleh Syahmi Hassan –
Pasukan Perkasa Darussalam dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) berjaya melakar kejayaan manis dengan menduduki tempat 20 teratas dalam pertandingan Shell Eco-Marathon 2023 (Asia-Pasifik dan Timur Tengah), yang diadakan di Lombok, Indonesia, baru-baru ini.
Perkasa Darussalam telah mereka bentuk dan membina kenderaan cekap tenaga, Mantuka Aswad, untuk bersaing dalam kategori Prototaip Bateri Elektrik pada pertandingan tersebut dan ia berjaya melepasi pemeriksaan teknikal ketat pada percubaan pertama.
Pemeriksaan teknikal adalah fasa penting dalam pertandingan, di mana setiap kenderaan yang mengambil bahagian menjalani pemeriksaan rapi untuk memastikan pematuhan kepada peraturan keselamatan dan piawaian teknikal.
Kenderaan prototaip itu telah memenuhi keperluan ketat yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan, membuktikan reka bentuk dan pembinaannya yang luar biasa.
Semasa kejohanan, sebanyak 41 daripada 46 pasukan berjaya melayakkan diri dan setiap pasukan diberikan empat percubaan untuk menamatkan tiga pusingan dengan rekod terbaik mereka dalam masa 30 minit atau kurang, tertakluk kepada kelulusan ujian pemeriksaan teknikal sebelum mereka melengkapkan percubaan.






Pasukan Perkasa Darussalam telah mencatatkan kecekapan rekod 103km/kWh dengan 1kWj yang diberikan.
Menurut penyelia pasukan Perkasa Darussalam, Pengiran Aderus bin Pengiran Haji Tengah, projek itu telah menjadi platform pembelajaran untuk penuntut di mana cabaran berjaya diatasi dan mereka keluar daripada zon selesa untuk belajar mengenai pentingnya kerja berpasukan, dedikasi dan komitmen.
Sementara itu ketua pasukan, Awang Muhamad Ahmad Hasyer bin Sulung berkata, “Kami amat berbangga kerana telah lulus pemeriksaan teknikal untuk Shell Eco-Marathon pada percubaan pertama kami. Pencapaian ini adalah bukti kerja keras, dedikasi dan kepakaran kolektif ahli pasukan. Pasukan telah berjaya memperoleh dan menajamkan kemahiran serta pengetahuan yang tidak diperoleh semasa dalam kuliah.
“Kami juga dapat mengongsikan dan menurunkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh daripada Shell Eco-Marathon kepada yang lain agar dapat memberikan inspirasi kepada semua untuk terus meningkatkan diri dan bertindak bagi memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Kami amat berterima kasih kepada penaja kami, dengan sokongan tidak berbelah bahagi mereka membantu membawa kami ke peringkat ini. Kami berharap dapat mempamerkan reka bentuk kenderaan inovatif dan mewakili Brunei di pentas global,” tambahnya.
Sementara itu, pemandu utama kenderaan, Dayang Amal Bazilah binti Karim berkata, “Sebelum turun ke litar, perasaan kami bercampur baur dan gelisah kerana ia merupakan kali pertama kami menguji kereta rekaan kami.
“Selain itu, kami juga merasa gelisah disebabkan jangkaan perlumbaan dan tekanan untuk melakukan yang terbaik. Tetapi apabila kami berada di atas litar, semua kegelisahan itu lenyap. Ia terasa seperti memandu di litar biasa tetapi dengan sedikit perasaan adrenalin dan fokus.”
Pencapaian yang diraih oleh pasukan bukan sahaja menekankan kepakaran teknikal tetapi juga meletakkan Perkasa Darussalam sebagai pelopor dalam kejuruteraan mampan di Negara Brunei Darussalam.
Semasa mengongsikan cita-cita mereka, ahli pasukan kini tidak sabar-sabar menyertai fasa Shell Eco-Marathon seterusnya di mana mereka berhasrat mempamerkan reka bentuk kenderaan yang inovatif dan bersaing dengan pasukan luar biasa lain dari seluruh dunia.
Selain itu, mereka berazam untuk memberi inspirasi kepada jurutera generasi akan datang dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan.

