Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Dalam memastikan pembangunan negara yang berterusan, tidak dinafikan bahawa kepelbagaian ekonomi amat penting untuk mencapai hasrat berkenaan.
Dalam hubungan itu, pencapaian negara melalui peningkatan eksport tempatan ke pasaran antarabangsa baharu khususnya dalam sektor minyak dan gas serta sektor bukan minyak dan gas amat dihargai di mana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Namun demikian, seperti yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kepelbagaian ekonomi tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, pendekatan yang lebih proaktif dalam memperkasa sektor-sektor ini amat penting bagi memperkasakan asas ekonomi negara serta memastikan daya saing yang lebih kukuh di peringkat global.”
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck semasa perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada Hari Kedua Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Lau How Teck seterusnya menegaskan kepentingan sektor pertanian sebagai salah satu tunjang utama dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.
“Pemerkasaan sektor ini tidak terhad kepada usaha menjamin keselamatan makanan negara serta turut berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta berdaya tahan dalam jangka panjang.”
Dalam hubungan itu, beliau menegaskan amat wajar untuk terus memperkukuhkan sektor pertanian melalui penerapan teknologi moden yang dapat meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengeluaran domestik.
“Langkah ini juga selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035 yang menitikberatkan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan negara, ke arah meningkatkan daya saing serta kemajuan sektor berkenaan.”
Sementara itu, Ahli MMN, Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam membahaskan usul berkenaan menjunjung kasih atas penekanan Baginda Sultan mengenai pembangunan modal insan dan kemampuan negara termasuk potensi transformasi AI.
Beliau menyatakan pendekatan yang berwawasan itu, amat penting untuk menjadikan Brunei sebagai negara yang kuat dan berdaya saing dalam era digital, membuka peluang untuk inovasi, pengembangan ekonomi serta kemakmuran negara.
“Teknologi AI dapat merevolusikan pelbagai sektor dengan mengautomasikan proses, meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan peluang baru untuk kemajuan ekonomi dan sosial.
“Strategi AI yang berstruktur baik dengan sokongan data tadbir urus akan memanfaatkan kekayaan pelbagai data yang dijana merentasi beberapa sektor, mempercepatkan kemajuan Brunei dan mencapai objektif negara pintar”, tambahnya lagi.
Dalam hubungan itu, beliau amat menantikan pertimbangan dan pengukuhan lanjut infrastruktur Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) bagi membantu kapasiti AI workload.