Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa ilmu, kemahiran seni jahit

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Dalam usaha memberikan ilmu, kemahiran dan membantu kepada keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) terus membantu golongan tersebut dalam pelbagai aspek, antaranya memberi kemahiran dalam penghasilan beg jinjing.

    MKM yang telah melancarkan Projek Harapan Ku (MY Hope) dan seterusnya menyampaikan sijil dan kotak peralatan jahitan kepada peserta projek berkenaan.

    Ketua fasilitator projek, Datin Paduka Intan Kassim, mengongsikan sebagai lanjutan usaha, MKM telah memulakan inisiatif yang berkaitan dengan pembuatan beg jinjing di kawasan luar bandar dan daerah yang dipilih ialah Daerah Temburong.

    Katanya, “Projek ini akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dan penerusan projek di seluruh Temburong bergantung kepada kesediaan ahli yang komited, dan bagi setiap kawasan, industri yang berbeza boleh dipilih yang mana fasa pertama adalah di Kampung Selapon.”

    Beliau seterusnya mengongsikan projek tersebut tercetus apabila Fatimah Mohammed Abdulla Inamulla iaitu pelatih dari Universiti Maghribi telah memulakan latihan amali dengan MKM, dan pihak MKM telah mengambil peluang menggunakan latihannya untuk menyediakan kertas kerja dengan input daripada MKM dan seterusnya membantu perlaksanaan projek.

    Dayang Nurzabirah salah seorang peserta projek tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    Awang Mohamad Adli tidak melepaskan peluang mengikuti projek itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    Datin Paduka Intan Kassim turut memberikan sokongan dan semangat kepada peserta. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    Para peserta sedang giat menimba ilmu untuk menambah kemahiran dan meningkatkan ekonomi keluarga. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI DAN MKM

    Menyentuh mengenai tenaga pengajar dan jurulatih bagi projek tersebut adalah terdiri daripada ahli-ahli MKM sendiri dan pemasaran bagi beg jinjing juga akan diusahakan oleh ahli-ahli MKM.

    Selain menambah, MKM turut mendapat sokongan daripada beberapa orang penyumbang yang bersedia untuk membantu dan menjayakan projek berkenaan.

    Katanya lagi, “Setiap beg jinjing yang dihasilkan dan dijual oleh MKM akan mempunyai logo rama-rama yang bermaksud harapan dan nama projek, di mana setiap warna pada logo tersebut mempunyai maksud yang tersendiri.”

    SEMANGAT MEMAJUKAN DIRI DI USIA MUDA

    Awang Mohamad Adli bin Muhammad Azman, 17, tidak melepaskan peluang untuk mempelbagaikan ilmu dan salah satunya adalah dalam bidang jahitan.

    Ketika ditemui, beliau menjelaskan penglibatan dalam bidang jahitan adalah satu pengalaman baharu, walaupun baru pertama kali menggunakan mesin jahit di samping banyak cabaran dan kesukaran yang dihadapi, akan tetapi masalah tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba sehingga berjaya menghasilkan beg jinjing.

    Katanya lagi, “ia adalah berkat ilmu yang diperolehi semasa mengikuti projek yang dianjurkan oleh MKM yang diadakan di Daerah Temburong sebelum ini.”

    Beliau tidak merasa kekok apabila berpeluang menimba ilmu semasa projek jahitan itu, kerana ibu beliau turut sama mengambil peluang yang diberikan oleh MKM kepada penduduk Kampung Selapon.

    Melalui projek yang disertai itu, beliau juga telah berjaya menghasilkan beberapa beg jinjing dalam lima jenis corak yang telah diajar oleh tenaga pengajar.

    Secara keseluruhan, beg jinjing yang dihasilkan oleh beliau dan ibunya telah mencapai 12 buah dan sebanyak $32 telah diperolehi hasil daripada beg-beg yang telah di jual dalam tempoh sebulan.

    “Walaupun jumlah tersebut dilihat kecil, akan tetapi kami gembira kerana beg jinjing yang dihasilkan dalam masa tempoh singkat telah berjaya memberi pendapatan sampingan, dan ini merupakan satu laluan untuk kami meneruskan dan meningkatkan lagi kualiti penghasilan dengan mempelbagai rekaan pada masa akan datang,” tambahnya.

    Selain berharap, akan terus lagi menimba ilmu dalam bidang jahitan yang bukan sahaja terhad kepada ilmu menghasilkan beg jinjing, bahkan juga akan dapat mempelbagaikannya seperti dapat menjahit pakaian lelaki dan wanita atau seni jahitan yang lain.

    LALUAN UNTUK MENINGKATKAN EKONOMI KELUARGA

    Sementara Dayang Nurzabirah binti Hisyamuddin @Juliana anak Udin, ingin mencuba dan mempelajari bidang lain yang lebih mencabar untuk melihat kemampuan dan keserasaian diri sebelum menjadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.

    Walaupun bidang jahitan merupakan satu aktiviti baharu yang tidak pernah terlintas di dalam fikiran untuk disertai, namun demikian disebabkan sokongan daripada ibunya yang menginginkannya untuk mengambil peluang yang diberikan oleh MKM kepada penduduk Kampung Selapon, di daerah ini.

    Katanya lagi, “Walaupun kursus ini hanya dilaksanakan selama tiga hari yang bermula dari 2 Ogos hingga 4 Ogos yang lalu di Pos Dakwah Kampung Selapon di mana ia telah dihadiri seramai 10 orang, akan tetapi pengisian ilmu yang telah disampaikan sangat padat dan mudah untuk diikuti.”

    Beliau turut mengongsikan pengalaman pertama menggunakan mesin jahit, di mana banyak cabaran telah dihadapi antaranya tentang pemasangan benang pada mesin jahit, cara-cara mengunting kain, menyukat kain mengikut corak dan yang paling mencabar sekali ialah apabila menjahit jenis kain yang licin. Bagaimanapun, semua itu dapat diatasi secara tenang dengan bantuan dan bimbingan tenaga pengajar.

    Tambahnya lagi, “Melalui projek tersebut, daripada tidak tahu menggunakan mesin jahit, cara-cara mengunting dan menyukat kain, menjadi tahu, walaupun ia hanya merupakan projek yang singkat tetapi ilmu yang dicurahkan kepada peserta telah memberikan satu lembaran baharu untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik lagi.

    “Dengan ilmu yang diperolehi ini, beliau berhasrat akan terus memperbaiki kemahiran menjahit dan terus mempelajari bidang jahitan ini, agar ia dapat menambah pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda