Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa ilmu pengetahuan pelajar dengan amalan keagamaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Dengan matlamat untuk meningkatkan dan memperkasakan ilmu pengetahuan serta motivasi para pelajar dalam amalan keagamaan lebih-lebih lagi dalam meniti kehidupan sebagai pengembara ilmu jauh di perantauan, Persatuan Pelajar-pelajar Pegawai Ugama Brunei (BruROSA) telah mengungkayahkan Kem Ibadah tahunan dengan membawa tema Power of Purpose di YHA Okehampton, Devon, baru-baru ini.

    Penganjuran Kem Ibadah buat kali ke-15 itu telah melibatkan seramai 32 orang peserta terdiri daripada 19 orang pelajar dan 13 orang ahli jawatankuasa BruROSA dari pelbagai lokasi pengajian di seluruh United Kingdom dan Eire.

    Pada hari pertama Kem Ibadah berkenaan telah dimulai dengan sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah sebelum diikuti dengan sesi pengenalan kepada tema perkhemahan tersebut.

    Apa yang menarik pada detik pertemuan sesi perkhemahan berkenaan ialah para peserta telah berpeluang menikmati juadah makan malam dengan masakan yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Brunei sendiri iaitu nasi katok.

    BINA JIWA BERPASUKAN

    Menerusi sesi suai kenal, para peserta telah mengikuti cabaran yang cukup meriah dengan gelak tawa apabila mereka dikehendaki untuk mengingati nama-nama peserta lain dalam kumpulan yang menjadi saingan mereka di mana ahli kumpulan sebelumnya dikehendaki bagi menyebut nama masing-masing.

    Ahli jawatankuasa BruROSA dan para peserta bergambar ramai semasa Kem Ibadah berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BRUROSA
    GAMBAR SERAHAN BRUROSA
    Pelbagai aktiviti menarik dan ceramah telah diungkayahkan semasa kem berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BRUROSA
    Para peserta bergambar ramai semasa kem ibadah berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BRUROSA

    Tanpa berlengah lagi, peserta-peserta beralih kepada satu lagi aktiviti membina pasukan iaitu mencipta sorakan kumpulan dan reka bentuk bendera berdasarkan slanga Brunei atau kurapak Brunei. Setiap kumpulan membentangkan bendera mereka, memberikan pandangan di sebalik setiap pilihan reka bentuk dan mempersembahkan sorakan kumpulan.

    Kedua-dua aktiviti cabaran pada hari pertama berkenaan berfungsi sebagai permulaan yang menakjubkan, bukan sahaja mewujudkan hubungan antara peserta tetapi juga menyediakan mereka untuk usaha membina pasukan selanjutnya.

    SELAMI KEINDAHAN QIYAMULLAIL

    Pada hari kedua, Kem Ibadah berkenaan telah menyaksikan peserta-peserta berhimpun untuk mengikuti acara Qiyamullail. Sebelum menunaikan sembahyang Sunat Tahajud dan Fardu Subuh, satu tazkirah telah dimuatkan yang membahaskan tentang kelebihan kedua-dua sembahyang tersebut.

    Salah satu aspek yang menarik dalam sesi perkhemahan hari kedua itu ialah pendekatan yang bernas untuk mendalami keutamaan amalan seperti sembahyang Sunat Tahajud dan bacaan Al-Ma’thurat, di mana semua ini diharap untuk menyemai pemahaman yang mendalam dan mengagumi keindahan dalam Islam.

    Sementara itu, pada sesi pagi hari kedua tersebut telah disemarakkan dengan acara Tilawah Al-Quran, Tadabbur Al-Quran dan Kuliah Subuh berjudul Purposeful Living yang disampaikan oleh Awang Muhammad ​​Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus bagi menandakan perasmian Kem Ibadah pada tahun ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom.

    Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

    Bagi memohon keberkatan majlis perasmian berkenaan, bacaan Surah Al-Baqarah dari ayat 28 hingga 30 telah dibacakan oleh Awang Ahmad Zakwan bin Haji Mohd Salleh dan terjemahannya disampaikan oleh Awang Ahmad Bukhari bin Abdul Rahman.

    Acara seterusnya diikuti dengan ucapan perasmian daripada Pengarah Pengajian UPP, Awang Mohammad Danny bin Aimi. Akhir sekali, bacaan Doa Selamat telah dipimpin oleh Komandan Kem Ibadah, Awang Muhd Al-Danish bin Muhd Al-Qusyairi dari University of Highlands and Islands, Perth College.

    PELBAGAI AKTIVITI DEMI MUHASABAH DIRI

    Sejurus acara perasmian, pelbagai aktiviti menarik dan ceramah berkisarkan tema Kem Ibadah pada tahun ini diadakan antaranya forum interaktif bersama penceramah jemputan, Fahmi dan Dr Widad. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan matlamat yang ingin dicapai sebagai pelajar Brunei di United Kingdom dan diselitkan juga perbincangan mengenai sebuah perjuangan yang mengingatkan kita tentang tujuan utama kita hidup di dunia ini dan kepentingan menyelaraskan niat dengan tujuan hidup untuk memaksimumkan pahala bagi akhirat.

    Secara keseluruhannya, forum itu melangkaui sesi penerangan semata-mata, ia sudah pasti meninggalkan para peserta dengan kesan yang berkekalan, membuat pendengar menangis dan meninggalkan mereka dengan tujuan yang diperbaharui sebagai hamba Allah.

    Dedikasi setiap penceramah jemputan berkenaan telah menekankan mesej dalam ceramah mereka masing-masing di mana mencerminkan komitmen tulen untuk membantu pelajar mendalami pengetahuan dan pemahaman tentang Islam, sekali gus meningkatkan pengalaman perkhemahan. Sesi tersebut diakhiri dengan alunan seni qasidah Marhaban Ya Ramadan, bertujuan bagi menggalakkan semua orang untuk menantikan bulan suci Ramadan dengan penuh semangat.

    Acara kemuncak pada malam itu turut diserikan dengan sesi muhasabah diri dan maklum balas di mana aktiviti yang menyelitkan unsur jenaka namun memiliki mesej penuh bermakna iaitu dengan menampilkan persembahan lakonan cemerlang yang disampaikan oleh para peserta. Majlis diikuti dengan sesi luahan nasihat untuk semua peserta agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa walaupun berjauhan kerana Allah SWT.

    Hari terakhir perkhemahan dimulakan dengan satu lagi acara Qiyamullail, diikuti dengan Kuliah Subuh yang memfokuskan tajuk Ramadan with Purpose, yang disampaikan oleh Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

    Perkhemahan dua hari dua malam diakhiri dengan majlis penutup, di mana Awang Muhd ​​Al-Danish dan Dayang Nur Afiqah Farahiyah binti Haji Muhsin dari Swansea University, telah menyampaikan ucapan penutup mereka dan mengumumkan kumpulan dan peserta terbaik untuk Kem Ibadah pada tahun ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda