Tuesday, April 8, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa industri agrimakanan, pelbagaikan ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Selaras dengan Wawasan Brunei 2035, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan akan terus memperkukuh pembangunan sektor industri agrimakanan dan pemprosesan makanan laut bertujuan mendukung sekuriti makanan dan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

    Industri agrimakanan dan pemprosesan makanan laut merupakan antara lima sektor utama yang dikenal pasti dalam menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi negara serta potensi tinggi dalam menjadikan Brunei sebagai hab pengeluaran makanan halal di rantau ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, di sini, KSSUP telah bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan untuk memperkukuhkan Industri Pemprosesan Makanan di mana dengan penggunaan teknologi moden dan peningkatan kecekapan pemprosesan, penghasilan produk tempatan dijamin berkualiti tinggi dan mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

    Di samping itu, pihak kementerian dan agensi berkepentingan turut memberikan tumpuan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) dengan menyediakan iklim pelaburan yang stabil, infrastruktur yang baik dan kelebihan akses ke pasaran antarabangsa, manakala sistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa juga mampu meningkatkan persaingan di pasaran domestik dan antarabangsa.

    Usaha turut bertumpu kepada menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan di mana kementerian komited untuk mendukung syarikat tempatan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan mengembangkan keupayaan syarikat daripada beroperasi di rumah ke premis yang bertaraf industri.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa meninjau produk makanan jenama Mantap. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN
    Penggunaan teknologi moden dan peningkatan kecekapan pemprosesan mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN

    Dengan strategi yang holistik dan kerjasama antara sektor awam dan swasta, Negara Brunei Darussalam berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi hab industri agrimakanan yang berdaya saing dan mampan di peringkat global.

    Ini terbukti melalui usaha bersepadu antara kerajaan, syarikat tempatan dan pelabur asing, negara telah berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan keupayaan pemprosesan makanan dan memperkukuh kedudukan Brunei dalam pasaran serantau.

    Salah satu pencapaian penting dalam industri agrimakanan merupakan kejayaan mendapatkan akreditasi daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi salah sebuah syarikat tempatan untuk menembusi pasaran eksport ke Republik Singapura.

    Kejayaan itu merupakan hasil daripada usaha kolaboratif antara KSSUP, Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) serta PDS Abattoir Sdn Bhd dalam memastikan pemprosesan makanan di Brunei mencapai piawaian antarabangsa dan memenuhi keperluan pasaran luar.

    Akreditasi ini membuktikan bahawa produk tempatan mampu menembusi pasaran serantau dan bersaing di peringkat global.

    Dalam usaha menarik lebih banyak FDI ke sektor agrimakanan, kerajaan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan tapak pemprosesan makanan kepada Atoll Agro, sebuah syarikat pelaburan asing yang sebelum ini beroperasi dalam sektor minyak dan gas, kini melebarkan sayap ke industri makanan.

    Dengan sokongan KSSUP dan LKEB, Atoll Agro telah memulakan pengeluaran produk makanan di bawah jenama Mantap, yang kini telah memasuki pasaran tempatan.

    Pelaburan itu bukan sahaja membuka peluang baharu dalam sektor pemprosesan makanan tetapi juga mewujudkan rantaian nilai yang lebih kukuh dalam industri agrimakanan Brunei.

    Produk Mantap yang telah dilancarkan kini mula dijual di pasaran tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengukuhkan kehadiran produk pemprosesan Brunei di peringkat nasional dan serantau serta diharap akan dapat meningkatkan lagi pengeluaran bagi pasaran eksport.

    Kemasukan Atoll Agro ke dalam sektor makanan bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi agrimakanan Brunei, tetapi juga memberikan pelbagai manfaat kepada negara dan rakyat Brunei termasuk pemindahan teknologi dan kepakaran pemprosesan makanan yang canggih serta kepakaran antarabangsa, yang akan membantu meningkatkan kecekapan dan standard industri pemprosesan makanan tempatan dengan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk belajar dan menyesuaikan teknologi moden dalam operasi mereka.

    Ia juga membuka peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan di mana lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi pekerja tempatan, terutamanya dalam bidang pemprosesan makanan, kejuruteraan, kawalan kualiti dan pengurusan operasi, sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam industri strategik.

    Inisiatif tersebut akan menjadikan Brunei sebagai hab pemprosesan makanan yang diiktiraf di peringkat serantau, dengan menampilkan produk yang memenuhi piawaian tinggi dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda