Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri, selaku Urusetia Anugerah Inovasi Perdana (AIP), hari ini telah menganjurkan Hari Terbuka AIP 2025 di Dewan Serba Guna, Bangunan Bahirah, Jabatan Audit.
Acara tersebut antara lain bertujuan mempromosikan penyertaan AIP 2025 yang kini secara rasmi dibukakan kepada semua warga perkhidmatan awam, termasuk penyertaan projek usahasama strategik antara pihak kerajaan dan sektor swasta di bawah inisiatif Kerjasama Awam Swasta (PPP), khususnya yang memberi impak kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan awam serta manfaat kepada rakyat.
Dalam usaha MSD untuk memastikan hasrat AIP 2025 tercapai, acara diisikan dengan Kaunter Konsultasi AIP yang menyediakan panduan dan sokongan kepada pihak yang berminat untuk menyertai, di samping mengetengahkan Pameran Projek-projek Inovasi daripada beberapa penyertaan AIP terdahulu yang melibatkan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan; Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan; Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan; Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Turut diadakan kempen derma darah yang dijayakan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan dan Syarikat imagine Sdn Bhd.
AIP merupakan platform peng-iktirafan perkhidmatan awam yang menghargai projek-projek inovatif secara individu atau berkumpulan yang telah menunjukkan hasil serta impak ketara terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sehubungan itu, AIP 2025 mengalu-alukan penyertaan projek berkualiti tinggi yang berpotensi dijadikan penanda aras dan amalan terbaik dalam sektor awam. Tarikh tutup penyertaan AIP 2025 adalah pada 30 April.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan mengenai penyertaan, pihak yang berminat bolehlah menghubungi Urusetia AIP melalui emel aip@msd.gov.bn ataupun menghubungi talian 2372064 / 2372065 / 2372066 sambungan 528 atau 529.
Dengan adanya hari terbuka itu, MSD berharap ia dapat merancakkan penyertaan menjurus ke arah penyelesaian inovatif serta menyemarakkan budaya inovasi berterusan ke arah memperkasa kecemerlangan perkhidmatan awam di Negara Brunei Darussalam.