Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa kemahiran dalam pengajaran melalui teknologi

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKTOBER – Simposium Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif Politeknik Brunei edisi ke-4 sedang diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga esok (31 Oktober), bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Pada tahun ini, tema simposium ‘Mendigitalisasikan Pendidikan untuk Abad ke-21’ menjurus kepada pendidikan di alaf ke-21 dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, seperti pembelajaran atas talian (online learning), penggunaan realiti imbuhan (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality) dalam pengajaran.

    Matlamat utama simposium adalah untuk memperkasa tenaga pengajar dengan kemahiran pengajaran menggunakan teknologi pendidikan dan pengajaran atas talian terkini bagi mengatasi Revolusi Industri 4.0.

    Antara objektif-objektif simposium ialah bagi menyediakan platform teknologi pendidikan terkini untuk digitalisasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas; dan memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dengan pembekal teknologi pendidikan dalam memberikan kemahiran penggunaan teknologi pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis perasmiannya pada hari ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah Politeknik Brunei.

    Profesor Eric Hawkinson semasa me-nyampaikan ucaptamanya bertajuk Learning for the future: Immersive & Automated Education.
    Antara peserta yang menghadiri simposium berkenaan.

    Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa evolusi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan adalah penting dalam memastikan pelajar dan graduan dapat bertahan dalam ekonomi yang pesat berubah dengan penggunaan teknologi dan Internet Benda (IoT).

    Oleh kerana generasi pelajar baharu dalam era digital ini, Denis Ho Mun Tai berpendapat bahawa penggunaan aktiviti kaya teknologi dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran adalah penting untuk memastikan tahap penglibatan dan pembelajaran pelajar yang tinggi.

    “Oleh itu para pendidik pada masa kini perlu terus mengenal pasti cara terbaik untuk menggunakan platform digital untuk meningkatkan pembelajaran pendidikan untuk pelajar, dan menyediakan graduan untuk Revolusi Industri keempat,” jelasnya.

    Sehubungan itu Pengarah Politeknik Brunei berkata bahawa dengan tema ‘Mendigitalisasikan Pendidikan untuk Abad ke-21’, mereka berharap simposium tersebut akan membolehkan semua peserta dan pensyarah yang terlibat untuk mendapatkan pengetahuan baharu, mengkaji keberkesanan pendekatan dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran mereka, dengan menggunakan platform digital supaya memperbaiki diri mereka.

    Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis, video perasmian, dan juga sesi bergambar ramai sebelum simposium dimulakan. Simposium kemudiannya dimulakan dengan ucaptama-ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Eric Hawkinson, dari Kyoto University of Foreign Studies, Jepun dan Profesor Lim Cher Ping, dari Education University of Hong Kong, SAR.

    Profesor Eric Hawkinson dalam ucaptamanya membentangkan kertas bertajuk Learning for the future: Immersive and Automated Education yang berkisar tentang penggunaan realiti maya dalam pengajaran dan pembelajaran.

    Manakala Profesor Lim Cher Ping membentangkan kertas bertajuk, ICT-enabled Innovations for Enhanced Access to Quality Vocational Education yang membincangkan tentang penggunaan ICT dalam meningkatkan akses ke pendidikan vokasional.

    Pada hari kedua, dua lagi kertas kerja akan dibentangkan iaitu dari Ketua Sektor Awam dan Pendidikan bagi Brunei, Nepal & Bhutan, Dayang Nadia Kadir dengan tajuk Empowering Educators with Microsoft Innovative Educator Programme yang akan memfokuskan tentang pengguna program pendidik inovatif keluaran Microsoft.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar pula akan membentangkan kertas kerja bertajuk Learning Factory yang berkisar tentang pendidikan di alaf ke-21.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda