Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Seramai 26 orang pustakawan dari 13 buah perpustakaan ahli Forum Ketua Pustakawan (FOCAL) dan Persatuan Perpustakaan Brunei (BLA) menyertai Bengkel Indeks Bahan-bahan Terbitan Brunei yang berlangsung selama tiga hari di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas.
Bengkel yang diadakan oleh Bahagian Perpustakaan, DBP itu dikendalikan oleh para pegawai dari Unit Indeks, Bibliografi, Rujukan dan Maklumat, Bahagian Perpustakaan, DBP.
Pelaksanaan bengkel itu merupakan salah satu pendekatan bagi Projek Kolaboratif FOCAL untuk meningkatkan kerjasama antara perpustakaan serta memperkuat peranan dan kompetensi perpustakaan sebagai pusat maklumat.
Selain itu, bengkel berkenaan juga dihasratkan untuk meningkatkan pembelajaran bertujuan memperluaskan kapasiti dan kewibawaan pustakawan dalam pelbagai bidang.
Pengisian bengkel turut dimuatkan dengan pengenalan dan penerangan mengenai pengindeksan serta praktikal indeks surat khabar, majalah, sajak, DVD, poster, gambar dan prosiding.
Bengkel itu bermatlamat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pustakawan dalam proses pengindeksan bahan terbitan tempatan serta menyediakan pemahaman tentang standard dan garis panduan pengindeksan yang selaras dengan amalan terbaik.
