Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seramai 50 pemimpin awal dan peringkat pertengahan wanita daripada pelbagai sektor swasta dan kerajaan menyertai Forum Kepimpinan Wanita, Universiti Teknologi Brunei ke-2 (UTB-WLF ke-2) yang berlangsung di Bangunan Pusat Pengajian Sains Gunaan dan Matematik, kelmarin.
Forum yang merupakan salah satu acara utama UTB Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (UTB-STE) Connect 2025, menghimpunkan para pemimpin wanita daripada sektor swasta dan awam untuk terlibat dalam dialog bermakna mengenai perubahan peranan wanita dalam era kecerdasan buatan (AI).
Forum selama dua hari yang dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama Brunei Affliates of the Society of Women Engineers, membawa tema, Memimpin dengan Kecerdasan: Wanita Membentuk Revolusi AI, bermatlamat untuk memperkasakan dan memberikan inspirasi kepada pemimpin wanita untuk menjadi pemangkin bagi inovasi, transformasi dan kemampanan dalam ekonomi digital.
Pengerusi forum berkenaan, Dr Syazana Abdullah Lim dalam ucapan alu-aluannya menekankan pentingnya untuk melengkapkan wanita dengan kemahiran kepimpinan digital dan keyakinan untuk mengemudi landskap teknologi yang pesat berubah.
Pada forum berkenaan, ucaptama bertajuk, AI-Driven Futures: Enabling and Empowering Women in the Digital Economic Transformation, oleh Pengasas Bersama dan Pengurus Springhill Farm and ORCA AI Solutions, Chern Y Loo di mana beliau menerangkan bagaimana inovasi dipacu AI dapat memajukan penyertaan dan kepimpinan wanita merentas sektor.



Acara diteruskan dengan forum perbincangan bertajuk, Unlocking Women’s Potential in the Digital Age-The Power of Innovation, yang mengetengahkan ahli-ahli panel iaitu Ketua Pegawai Digital dan Maklumat Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Sofiah binti Haji Umar; Konsultan Perniagaan Kanan, TEO International A/S, Denmark dan Fakulti Melawat, Sekolah perdagangan UTB, Dr Abdullah Ismail; Pengarah Pejabat Perusahaan, UTB, Dr Sharina binti Yunus serta Pengarah Eksekutif Al Riyada Consulting dan Rakan Kongsi Pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Flower Journal, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar, dengan perbincangan menumpukan kepada strategi untuk mengukuhkan penyertaan wanita dan impak terhadap industri dipacu teknologi.
Para peserta juga menyertai bengkel interaktif bertajuk, AI untuk Impak- Peralatan dan Aplikasi Praktikal bagi Pemimpin Wanita di mana ia menumpukan kepada pembinaan kefahaman asas AI, meneroka trend global serta mengenal pasti peluang-peluang untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam amalan kepimpinan.
Bengkel itu dikendalikan oleh Ahli Fakulti George Mason University dan Pengarah Bersama Virginia Serious Game Institute, Profesor Sang Nam di mana beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam industri inovasi dan berlatar belakangkan pelbagai disiplin untuk melengkapkan para peserta dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memanfaatkan AI secara efektif dan bertanggungjawab.
Bengkel itu dibahagikan kepada enam sesi dengan sesi seterusnya dijadualkan pada hari ketiga UTB-STE Connect 2025. Bengkel berkenaan akan menumpukan kepada aplikasi amali peralatan AI bagi kecekapan kepimpinan harian, automasi aliran kerja, transformasi organisasi serta berakhir dengan refleksi dan rangkaian rakan sebaya untuk mengukuhkan pembelajaran serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita.

