Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa kerjasama strategik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) semalam telah menerima kunjungan daripada delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

    Kunjungan berkenaan adalah untuk memperkasakan kerjasama strategik yang boleh dipergiatkan lagi antara kedua-dua buah universiti dan juga merupakan platform usaha sama dalam memberikan sumbangan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

    Delegasi seramai empat orang itu diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohammed Tahir dan diiringi oleh Naib Cancelor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

    Kunjungan tersebut dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    UiTM merupakan sebuah universiti terbesar di Malaysia yang memiliki 35 cawangan kampus di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

    Sesi penyerahan cenderahati di antara rombongan UiTM dan UNISSA.

    UiTM dan UNISSA mempunyai hubungan yang sangat rapat dan merupakan rakan strategik UNISSA dalam penganjuran Seminar Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) iaitu anjuran kolaborasi antara UNISSA dengan UiTM Sarawak dan UiTM Sabah yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di universiti Kepulauan Borneo.

    UNISSA melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) dan UiTM melalui Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) juga akan berganding bahu dalam penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa ke-4 (INHAC 2019) yang akan diadakan pada 22 dan 23 April ini di Nakanoshima Center Building, Osaka University, Osaka Jepun.

    Kerjasama ini adalah antara perkara yang telah disentuh oleh rektor UNISSA dalam ucapan alu-aluan dan menyatakan bahawa UNISSA telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UiTM bagi fasa kedua untuk tempoh lima tahun pada 22 Mei 2017 yang lalu.

    Sebagai kesinambungan daripada penandatanganan MoU itu juga, UiTM telah menghantar seramai 11 orang pelajar ke UNISSA untuk menjalani latihan industri di PPHT secara berperingkat bagi tempoh lapan minggu.

    Ini menunjukkan bahawa UiTM amat komited dalam memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Dalam sesi perjumpaan tersebut, UNISSA dan UiTM bersetuju untuk mengadakan Program Pertukaran Tenaga Akademik, membuat Program Pertukaran Pelajar, penyeliaan bersama dan memperkukuhkan program yang sedia ada di samping mempergiat lagi kolaborasi untuk penambahbaikan jalinan kerjasama.

    Turut hadir semasa perjumpaan tersebut ialah timbalan rektor UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda