Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Dengan membawa tema, Watch Her Shine, bertujuan untuk memperkasa dan mempromosi kesaksamaan jantina dalam sukan di seluruh Asia, Majlis Olimpik Asia (OCA) menganjurkan Seminar Kesaksamaan Jantina OCA ke-2 di Negara Brunei Darussalam sebagai negara tuan rumah selama dua hari bermula hari ini hingga 15 April yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei.
Berangkat ke seminar berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Ahli Lembaga Eksekutif Kehormat OCA dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Mikako Kotani OLY selaku Ahli Lembaga Eksekutif OCA, diikuti dengan sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, sabda His Royal Highness Prince Feisal Al-Hussein, Association of National Olympic Committee (ANOC) Gender Equity Commission Chair dan OCA Chair of the Peace and Sport Standing Committee dan ucapan daripada Pengerusi Kesaksamaan Jantina OCA, Valerie Tarazi OLY.
Majlis diteruskan dengan 2024 International Olympic Committe (IOC) Gender Equality, Diversity and Inclusion (GEDI) Championships Award Winner for Asia yang dianugerahkan kepada Dunya Abutaleb OLY dan OCA Gender Equity Committee (2024-2027) Road Map disampaikan oleh Valerie Tarazi.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan seminar bertajuk, Breaking Barriers: Advancing Gender Equity at All Sports Levels, disampaikan oleh tiga orang ahli panel terdiri daripada Ketua Pasukan Promosi GEDI Tokyo 2020, Mikako Kotani OLY; Pengurus Pengadil Wanita Asian Football Confederation (AFC), Pannipar Kammueng; dan bekas atlet gimnas artistik kebangsaan dan Duta Kesihatan Mental, Farah Ann OLY. Seminar diikuti lagi dengan IOC–GEDI Department disampaikan oleh Pengurus IOC GEDI, Pedro Dias.
Majlis turut mendengarkan pembentangan daripada empat orang ahli panel dengan tajuk yang berbeza iaitu Pengurus Projek Majlis Olimpik Kebangsaan (NOC) Kyrgyzstan, Nargiza Bakeeva dengan tajuk, A Girl is bound by forty ties; Pakar Hal Ehwal Antarabangsa NOC Iran, Hadis Shokouhi dengan tajuk Key Achievements of I.R. Iran NOC Women and Sport Commission; Setiausaha Agung NOC Jordan, Rana Saeed dengan tajuk, Champions for Change, How Jordan is Elevating Women in Sport; dan Suruhajaya Atlet Wanita BDNOC, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen dengan tajuk, Women In Sports Strategic Plan. Seminar diteruskan pada sesi petang dengan bengkel secara berkumpulan.
Seminar dianjurkan dengan kerjasama BDNOC dengan sokongan logistik yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).