Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pembayaran tanpa tunai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Ke arah memperkasakan masyarakat dengan terus menyokong pembayaran tanpa tunai di seluruh negara, GoMamam dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai rakan kongsi bank rasmi, telah membuka tirai acara GoFeastival 2024 dengan majlis perasmian bertempat di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Sebanyak 50 buah vendor telah menyertai acara berkenaan yang sememangnya menyerlahkan dedikasi BIBD dan GoMamam untuk memupuk pengalaman tanpa tunai sepenuhnya.

    GoFeastival menampilkan pelbagai aneka vendor yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan menerima pakai penyelesaian menerusi pembayaran digital.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara berkenaan yang dijangka berlangsung sehingga 4 Ogos itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif GoMamam, Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Wahab; dan para pengurusan kanan dari BIBD dan GoMamam.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Junaidi bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Acara berkenaan turut bertujuan untuk menonjolkan pelbagai kelebihan QuickPay BIBD, termasuk kemudahan, keselamatan dan kecekapan.

    Dengan menerima pembayaran digital, para pelanggan boleh menikmati kemudahan yang lancar dan pengalaman transaksi yang cekap sambil menyumbang kepada penyediaan hab pembayaran digital melalui peningkatan transaksi tanpa tunai.

    Menyentuh mengenai acara berkenaan, Awang Abdul Hadi antaranya berkata kepentingan kesedaran kepada orang ramai mengenai transaksi digital adalah penting kepada transformasi digital Brunei.

    “Acara ini merupakan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi teras GoMamam sejak awal lagi. Kami berterima kasih kepada BIBD atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan bagi menjayakan acara ini, terutamanya semasa perayaan bersempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan,” tambahnya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit di BIBD, Awang Junaidi bin Bahrum, menyatakan matlamat utama bank dengan GoFeastival 2024 yang julung kali diadakan ini adalah untuk mewujudkan satu platform yang menyerlahkan kelebihan pembayaran digital dan menyokong visi kerajaan untuk mengubah Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara pintar.

    “Melalui acara ini, kami berhasrat untuk meningkatkan pemahaman awam dan penggunaan amalan pembayaran digital, akhirnya menyumbang kepada ekonomi yang lebih saling berkaitan dan cekap,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Korporat, Kumpulan Perbankan Korporat, BIBD, Haji Shamri bin Haji Mahali, menekankan bahawa acara itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan bank melalui BIBD SME 360 untuk memperkukuh ekosistem PMKS. Ini dicapai dengan menawarkan platform jualan kepada PMKS yang baharu dan sedang berkembang. Aspirasinya adalah semua peserta akan merebut peluang ini untuk meluaskan lagi kehadiran perniagaan mereka kepada orang ramai. Tambahan pula, adalah diharapkan orang ramai akan menunjukkan sokongan penuh mereka terhadap PMKS ini.

    “BIBD adalah salah satu penyokong Anugerah Proudly Brunei DARE, di mana GoMamam telah dianugerahkan Anugerah Startup. BIBD berdedikasi untuk menyokong potensi tinggi PMKS, mengiktiraf peranan penting mereka dalam ekonomi negara.

    “Kami sangat teruja untuk menyaksikan PMKS ini membangun dan melonjak ke tahap yang baharu,” ujar beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda