Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan dalam Pelan Strategik 2023–2027 serta menyahut seruan Wawasan Brunei 2035 pelbagai inisiatif pembaikan telah dilaksanakan, antaranya pemerkasaan pembelajaran bersepadu melalui Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).
Pengukuhan STEAM di sekolah membuka peluang kepada pelajar untuk mengembangkan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif yang sejajar dengan keperluan kemahiran abad ke-21.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan, tetapi juga membentuk mereka sebagai individu yang mampu menyumbang secara aktif kepada ekonomi berpengetahuan dan masyarakat global.
Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Peperiksaan, Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Awang Shahrizal bin Haji Emran semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2024 bagi pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘A’; International Baccalaureate (IB); Pearson Edexcel UK/GCE International Advanced Level; Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan IGCSE; Pearson BTEC Level 2 dan Level 3 Extended Certificate; dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, petang tadi.
Beliau yang juga selaku pengerusi bersama majlis seterusnya menambah sebagai bukti komitmen Kementerian Pendidikan dalam sistem pendidikan yang inklusif, progresif dan berpaksikan potensi pelajar secara menyeluruh pelbagai projek telah dilaksanakan.


Antaranya termasuk Coding with Smart Devices, SMART Classroom, Program Keusahawanan Celik-Biz dan BigStart, serta inisiatif ShInE iaitu Sheltered Integrated Employment untuk pelajar berkeperluan khas.
Dalam pada itu, Awang Shahrizal turut mengongsikan sepanjang tahun 2024, Kementerian Pendidikan terus komited memperkukuh Sistem Pendidikan Negara melalui pelaksanaan pelbagai strategi berpusatkan pelajar. Salah satu inisiatif utama ialah pengembangan penggunaan teknologi pendidikan secara berperingkat di sekolah-sekolah, yang telah berjaya mempertingkatkan keberkesanan penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk memanfaatkan platform pembelajaran digital serta penggunaan alat bantu mengajar berasaskan teknologi.
“Di samping itu, pembangunan profesional secara berterusan bagi para pendidik terus diperkasa melalui pelbagai bentuk latihan dan sokongan berstruktur, khasnya dalam bidang pedagogi abad ke-21 serta pendidikan inklusif. Usaha ini seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk memastikan para guru sentiasa bersedia dalam menangani keperluan pembelajaran yang semakin kompleks dan mencabar.”
“Dalam konteks pembelajaran berasaskan kemahiran, tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan teknikal dan vokasional. Kerjasama strategik dengan agensi dan pihak berkepentingan yang relevan terus diperkembangkan bagi menyediakan pilihan pendidikan yang pelbagai dan bersesuaian dengan potensi pelajar,” ujar beliau lanjut.
Sementara itu, Awang Shahrizal antaranya juga merakamkan kejayaan yang diraih oleh semua penerima itu sebagai cerminan kecemerlangan generasi muda yang amat membanggakan. Kejayaan yang diraikan hari ini adalah hasil usaha gigih, doa, sokongan dan semangat juang yang tidak pernah luntur. Tidak dilupakan, penghargaan tulus kepada ibu bapa, pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru dalam memastikan pendidikan terus diperkasa meskipun cabaran kian meningkat kerana tanpa sokongan padu semuanya, kejayaan itu tidak mungkin dikecapi.
“Setiap kejayaan hari ini adalah titik tolak untuk pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan. Teruslah berusaha, menuntut ilmu dengan penuh keikhlasan dan berbaktilah kepada agama, bangsa dan negara. Jadikan Wawasan Brunei 2035 sebagai panduan dan inspirasi untuk menjadi rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.”

