Monday, July 28, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pendidik serantau dengan kemahiran abad ke-21

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seramai 19 orang pendidik dan pegawai pendidikan dari 11 negara anggota SEAMEO termasuk empat peserta tempatan telah menyertai Program Latihan Serantau Hibrid bertajuk ICT-Empowered 21st Century Skills for TVET yang dikendalikan oleh Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.

    Program latihan intensif selama lapan hari itu dilaksanakan dalam dua fasa; secara dalam talian pada 24 hingga 26 Jun dan secara fizikal di Pusat SEAMEO VOCTECH, Brunei Darussalam bermula 21 hingga 26 Julai. Program itu bertujuan memperkasakan para pendidik dalam mengintegrasikan kemahiran abad ke-21 ke dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi ICT yang terpilih.

    Majlis penutup program berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

    Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penggunaan teknologi dalam memperkasa pembelajaran fleksibel dan inklusif, di samping menyokong pelaksanaan Pelan Transformasi Digital Brunei 2023-2027.

    “Program ini membuktikan bahawa penggunaan format hibrid dan fizikal dapat menyediakan peluang pembelajaran yang fleksibel dan inklusif kepada para profesional. Lebih penting lagi, ia menunjukkan keperluan kita untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat,” ujarnya.

    Program tersebut dikendalikan oleh tenaga pakar SEAMEO VOCTECH, Dr Ikhwan Jambak (Pakar IT & Penyelaras Program); Dayang Noohayati Cynthia Abdullah (Pakar Pendidikan Guru); dan Awang Ariffin Yusof (Pengurus IT). Para peserta dibimbing menggunakan kerangka kerja 21st Century Learning Design (21CLD) dan pelbagai aplikasi seperti Microsoft Teams, OneNote, Forms, PowerPoint, Sway dan Copilot untuk memperkukuh rekaan pengajaran dan pembelajaran digital.

    Antara kemuncak program ialah forum bertajuk ICT dan AI dalam Pendidikan di Brunei yang mengumpulkan pakar-pakar tempatan termasuk Awang Muhd Syafiq bin Haji Abu Bakar (Jabatan Pengurusan Pendidik), Awang Abdul Walid bin Misli (Pusat Teknologi Pendidikan) dan Dr Khairul bin Haji Jait (KUPU SB). Forum itu membincangkan inovasi digital dalam pendidikan, etika pelaksanaan AI serta strategi pemerkasaan pendidikan TVET melalui teknologi terkini.

    Selain itu, program turut disertai lawatan pembelajaran ke Sekolah Menengah Lambak Kiri yang memperkenalkan pelaksanaan bilik darjah pintar dan inisiatif hijau serta sesi perkongsian ilmu bersama pakar dari Pusat Pembelajaran Teknologi Dipertingkatkan (CTEL).

    Di samping pengisian ilmiah, peserta turut berpeluang menyertai lawatan budaya yang memberikan pendedahan terhadap warisan budaya Brunei dan mengeratkan hubungan rentas budaya antara peserta serantau.

    ATAS & BAWAH: Sesi penyerahan sijil semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda