Friday, March 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pendidikan Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Pengajian Islam dan Bahasa Arab adalah sebahagian daripada unsur atau elemen penting dalam pendidikan kebangsaan yang perlu terus diperkasakan, antaranya dengan membuat penyelidikan yang relevan.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, penyelidikan relevan itu berupa pendedahan kepada kaedah dan inovasi terbaru bidang pendidikan termasuk persiapan untuk memasuki era yang diistilahkan sebagai Era Industri 4.0.

    Semasa berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa ke-5 Mengenai Penyelidikan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, 2018 (ICRIALE 2018) di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini, beliau berharap aspek pertama akan ditimba daripada sub tema yang dibentangkan dalam 18 kertas kerja mengenai pendidikan Islam dan lapan kertas kerja mengenai Bahasa Arab di samping enam lagi kertas kerja mengenai isu kontemporari.

    Manakala aspek kedua pula, tambah Yang Berhormat Pehin, adalah usaha untuk memastikan pendidikan Islam tetap relevan sebagai respons yang tepat terhadap corak dan cara hidup individu serta masyarakat yang sentiasa berkembang.

    “Kita menempatkan pendidikan Islam dalam pelajaran atau persekolahan agama dan persekolahan Arab dalam arus perdana sistem pendidikan kebangsaan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan ICRIALE 2018.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, kedudukan ini telah diperkukuhkan lagi dengan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 dan penguatkuasaan undang-undang, kanak-kanak Islam yang berumur dari tujuh hingga 14 tahun adalah wajib bersekolah agama.

    “Adalah menjadi kesalahan kepada ibu bapa atau penjaga mereka jika tidak menyekolahkan mereka belajar agama di sekolah-sekolah agama,” tegas Yang Berhormat Pehin.

    “Brunei amat perlu terus menerus berusaha memperkasakan pendidikan Islam termasuk Bahasa Arab sebagai medium pembelajaran dan rujukan kepada sumber ilmu-ilmu teras Islam,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada persida-ngan ini akan diambil faedah oleh peserta khasnya mereka yang berkepentingan dengan pendidikan Islam dan Bahasa Arab di negara ini.

    Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, kalangan yang berkepentingan dengan pendidikan Islam dan Bahasa Arab di negara ini dan di negara yang turut berkepentingan dengannya juga diharap untuk fokus kepada aspek sistem dan struktur kurikulum institusi pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

    Sehubungan itu, dalam memperkatakan pendidikan Islam di negara ini, adalah wajar untuk melihat dalam ruang lingkup dasar dan sistem pendidikan kebangsaan kita.

    Ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dan menanggap sistem persekolahan dalam sistem pendidikan kebangsaan dari peringkat rendah dan menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi masih mengikut jurusan umum dan jurusan aliran agama, lalu sistem itu dinamakan sebagai sistem pendidikan dualisme.

    Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, dua aliran persekolahan dalam sistem pendidikan kebangsaan sekarang adalah sesuatu yang unik di mana kedua-dua aliran persekolahan agama atau Arab dan aliran persekola-han umum itu berada dalam satu sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

    Beliau juga menjelaskan, mata pelajaran Agama Islam di negara ini adalah komponen mata pelajaran teras di peringkat menengah termasuk di peringkat lanjutan kolej dan universiti.

    “Kedua-dua aliran persekolahan dalam sistem pendidikan kebangsaan Brunei iaitu aliran persekolahan agama atau Arab dan aliran persekolahan umum sama-sama mendidik anak bangsa khasnya yang beragama Islam dalam ruang lingkup pendidikan kebangsaan yang bukan pendidikan sekular tetapi adalah Islamik yang unik,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda