Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa penglibatan, kepimpinan wanita

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Mesyuarat Penyelarasan Komiti Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) telah berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, kelmarin.

    Hadir mewakili negara ke mesyuarat tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam dan Yang Berhormat Chong Chin Yee.

    Mesyuarat yang bertemakan Fostering Gender-Responsive Parliaments for a Resilient, Connected and Inclusive ASEAN Community tersebut dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Republik Demokratik Rakyat Laos.

    Antara lain objektif mesyuarat berkenaan adalah bagi menyokong perjalanan Mesyuarat Komiti WAIPA sewaktu Perhimpunan Agung AIPA ke-45 di Republik Demokratik Rakyat Laos pada bulan Oktober 2024 nanti.

    Pada WAIPA itu, ahli-ahli MMN telah mengongsikan inisiatif Negara Brunei Darussalam dalam memperkasa penglibatan wanita di peringkat nasional dan antarabangsa, di samping bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik melalui perkongsian perwakilan dari negara ahli AIPA.

    Gambar ramai perwakilan dari negara-negara ASEAN yang menghadiri mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JMMM
    Yang Berhormat Hajah Safiah dan Yang Berhormat Chong Chin Yee semasa menghadiri WAIPA yang berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JMMM

    Terdahulu sebelum mesyuarat penyelarasan diadakan, ahli-ahli MMN juga menghadiri acara sampingan iaitu Forum Pemimpin Politik Wanita.

    Forum berkenaan telah mengetengahkan topik-topik bagi mengukuhkan penyertaan dan kepimpinan wanita melalui kerjasama yang teguh yang antaranya penglibatan dan kepimpinan wanita dalam aspek politik dan ekonomi termasuk care economy serta hubungan dan kerjasama antara generasi pemimpin wanita.

    Turut diadakan, Bengkel Projek WAIPA 2.0 yang membincangkan kerangka kerja pelaksanaan bagi draf Pelan Tindakan Menggalakkan Penyertaan Politik dan Kepimpinan Wanita.

    Pelan tindakan tersebut adalah mercu tanda bagi menggalakkan tadbir urus inklusif dan kepimpinan di ASEAN yang menggariskan tindakan-tindakan konkrit yang akan diusahakan oleh negara-negara ahli AIPA pada tahun mendatang.

    Mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh lebih 50 orang perwakilan dari parlimen negara-negara ASEAN termasuk ahli panel dari pelbagai pertubuhan antarabangsa antaranya Pertubuhan Wanita Bangsa-bangsa Bersatu dan Canada Fund for Local Initiatives (CFLI).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda