Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Dialog Belia Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Mei lalu berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian sijil, di Bilik Mesyuarat East Wing, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.
Seramai 80 belia berumur 15 hingga 25 tahun menyertai dialog berkenaan yang diadakan buat julung kalinya oleh JPM selaku Sekretariat
Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDG dengan kerjasama daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Program dan aktiviti bengkel telah dijalankan oleh Majlis Belia Brunei, Green Brunei, My Actions for SDGs dengan sokongan daripada United Nations Resident Coordinator Office (UNRCO) dan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN ESCAP).
Bengkel tersebut bertujuan untuk membangun dan memperkasa peranan belia dalam menjadi pemimpin kemampanan masa depan. Ia juga menunjukkan komitmen Brunei Darussalam dalam membangunkan potensi golongan belia sebagai generasi berwawasan dan berinovatif yang mampu mencorak masa depan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk latihan kepimpinan dan lawatan sambil belajar ke Hab Tenaga Brunei dan Kampong Ayer.
Para peserta juga berpeluang bagi mendengarkan perkongsian daripada para pegawai dan wakil daripada Kementerian Kesihatan, Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council, Kementerian Pendidikan, BIBD dan Malaysian Youth SDG Summit.
Peserta program juga diberikan bimbingan dan perkongsian pandangan daripada para mentor berpengalaman daripada Larian Tanpa Batas, AYAN Brunei, dan SMARTER Brunei, khususnya dalam merancang projek-projek yang akan menyumbang kepada SDG.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengiran Hajah Siti Nirmala yang menjelaskan, program itu bertujuan untuk mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sesi Perjumpaan Pemimpin-pemimpin ASEAN dengan Wakil-wakil Belia ASEAN pada 10 Mei lalu; yang antara lainnya menekankan penglibatan belia sebagai pendorong utama ke arah pembangunan yang mampan dan sebagai agen terpenting bagi perubahan sosial, pertumbuhan ekonomi dan inovasi teknologi.
Majlis diikuti dengan Pembacaan Kenyataan Belia SDG yang merupakan hasil dapatan utama bengkel tersebut yang mana kenyataan itu dijadikan sebahagian daripada Laporan Voluntary National Review (VNR) Kedua bagi Brunei Darussalam yang akan disampaikan di High-Level Political Forum on Sustainable Development pada Julai depan.
Majlis seterusnya menyaksikan pengumuman Anugerah Pemimpin-pemimpin Belia Kemampanan BIBD yang disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Para pemenang akan menerima sumbangan dana bagi melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian sijil dan tanda penghargaan kepada KKBS, BIBD dan Majlis Belia Brunei oleh tetamu kehormat majlis.