Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa pesawah pacu pertanian pintar dengan AI

    KUALA LUMPUR, 23 OKT – Sebagai langkah ke hadapan, pesawah di Malaysia kini bakal dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi chatbot Rakan Tani Pintar AI, iaitu sebuah “pakar agronomi digital” yang dibangunkan bagi memantau sawah dengan lebih cekap dan berkesan.

    Seiring matlamat kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) percaya pengadaptasian teknologi moden bukan sahaja mampu memperkukuh daya saing industri, malah dapat meningkatkan produktiviti pesawah secara menyeluruh.

    Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Mohd Zakri Zulkafli, berkata platform inovatif itu boleh diakses terus melalui aplikasi WhatsApp tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu, bagi memberikan nasihat harian kepada pesawah berkaitan penggunaan baja, kawalan penyakit dan jadual kerja sawah.

    “Malah, pesawah boleh berinteraksi dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau mana-mana dialek melalui teks atau rakaman suara dan akan menerima jawapan yang tepat serta segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Gambar Unsplash

    Beliau berkata, bagi mengaktifkan Rakan Tani Pintar AI, pesawah hanya perlu mengisi maklumat asas sawah mereka seperti keluasan lot, lokasi, varieti padi yang ditanam serta umur tanaman.

    Sistem itu akan menyesuaikan nasihat mengikut keadaan sebenar di sawah masing-masing serta mengambil kira keadaan cuaca sebelum aktiviti penting dijalankan.

    “Jika ramalan menunjukkan angin kencang atau hujan lebat, sistem akan menasihatkan supaya menangguhkan kerja meracun, langkah ini akan mengelakkan pembaziran input dan melindungi alam sekitar serta kawalan rumpai, penyakit dan perosak dapat dibuat dengan lebih tepat pada masanya,” katanya.

    Gambar Unsplash

    Sebagai permulaan, Mohd Zakri berkata, “Rakan Tani Pintar AI akan melalui ujian rintis melibatkan beberapa kumpulan pesawah selama 10 minggu sebelum dilancarkan pada awal tahun 2026 dan bakal memberi manfaat kepada pesawah berdaftar di seluruh negara”.

    Beliau turut menegaskan teknologi itu tidak direka untuk menggantikan peranan penting pegawai lapangan, sebaliknya bertindak sebagai penasihat berdasarkan data dan kepakaran yang disumbangkan oleh pakar agronomi serta pegawai lapangan BERNAS sendiri.

    “Rakan Tani Pintar AI telah melalui Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) yang ketat. Maklumat yang kurang tepat, maklum balas akan dihantar kepada pembangun sistem untuk penambahbaikan segera,” jelasnya.

    Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan setiap nasihat yang diberikan AI adalah tepat, praktikal dan disahkan oleh pakar di lapangan.

    Gambar Unsplash

    Menerusi pengintegrasian teknologi moden seperti dron, pengimejan satelit dan AI, beliau berkata sektor pertanian kini tampil lebih profesional dan berteknologi tinggi, sekali gus mampu menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.

    Menurutnya, pembangunan platform Rakan Tani itu dilaksanakan melalui kerjasama BERNAS dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) serta The Hive Global AI Village (GAIV) dengan hasrat melatih dan membimbing pesawah supaya tiada yang tercicir dalam peralihan digital sektor pertanian. -BERNAMA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda