Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa profesional industri hospitaliti

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Bengkel Perkongsian Pasca-Latihan bagi Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM) yang disertai oleh seramai 34 peserta telah pun diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Bengkel selama dua hari yang bermula 17 Oktober itu telah disertai oleh para peserta dari sekolah-sekolah menengah Kementerian Pendidikan, SEAMEO VOCTECH, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Hotel Antarabangsa Rizqun.

    Hadir pada majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel ialah Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

    Turut hadir ialah Pengarah Operasi Kumpulan Hotel ARH, Dayang Siti Rashidah binti Hassan dan Pemangku Ketua Jabatan Hospitaliti, IBTE, Dayang Nurul Rafidah binti Haji Ibrahim.

    Awang Alias dalam ucapan penutupnya menekankan pen-tingnya CRM dalam hospitaliti moden serta peranannya dalam menjana pengalaman tetamu yang lancar serta menaikkan kualiti perkhidmatan.

    Beliau berkata pasaran yang amat memerlukan dan kompetitif di mana hubungan pelanggan dan hospitaliti adalah amat kritikal dalam penjanaan pengalaman pelanggan atau klien yang positif supaya dapat memastikan pengukuhan imej jenama serta memastikan kesetiaan pelanggan.

    Awang Alias menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel pada majlis penutup yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Pada masa yang sama, pendigitalan juga meresap ke dalam setiap fasa kehidupan peribadi dan profesional dengan industri hospitaliti merupakan salah satu yang telah melalui perubahan yang besar dalam perkhidmatannya seperti daftar masuk secara mudah alih, pembayaran tanpa kontak dan penggunaan robotik.

    Oleh itu, selari dengan perubahan industri, amalan pengajaran, kurikulum dan latihan guru juga harus mencerminkan perubahan signifikan berkenaan.

    Dalam hubungan itu, Awang Alias menyatakan SEAMEO VOCTECH sebagai pusat latihan serantau bagi TVET bekerjasama dengan institusi-institusi berprestij seperti Instutute of Technical Education-Education Services (ITEES) untuk menawarkan latihan TVET yang canggih kepada tenaga pengajar dan guru di mana mereka dapat menganalisis trend semasa dalam industri masing-masing, mengintegrasikan teknologi baharu dalam pengajaran mereka serta menjadikan pelajaran mereka lebih interaktif, mencerminkan kerja sebenar dan menyeronokkan.

    “Bagi institusi-institusi TVET hari ini, adalah bukan sahaja dihasratkan untuk menghasilkan tenaga kerja bagi industri tetapi sebuah tenaga kerja yang siap siaga masa depan, dilengkapi dengan kemahiran dan keupayaan untuk menyelesaikan isu, masalah dan memenuhi cabaran-cabaran tempat kerja hari ini dan tahun-tahun mendatang.”

    Bengkel selama dua hari itu dianjurkan oleh SEAMEO VOCTECH dengan kerjasama Temasek Foundation International dan ITEES di mana ia merupakan kesinambungan kepada Kursus Pengurusan Hotel iaitu Peningkatan Kemahiran dalam Pengurusan Hotel dengan Industri 4.0 CRM dalam Industri Hospitaliti yang dikendalikan di ITE College West, Singapura pada September 2022.

    Bengkel itu mengetengahkan CRM dengan penekanan kepada perkongsian pengetahuan dan pertukaran amalan terbaik dalam kalangan peserta yang bertujuan untuk memperkasakan profesio-nal dalam hospitaliti masa depan bagi memberikan kesan yang berpanjangan kepada industri.

    Selepas menyertai bengkel berkenaan, para peserta diharap meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memupuk hubungan tetamu yang berpanjang dalam industri hospitaliti yang dinamik serta sentiasa berubah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda