Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkasa Wanita dalam Komuniti Maritim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Dunia maritim semakin berubah dan menjadi satu industri untuk semua orang, baik lelaki mahupun wanita.

    Bagaimanapun, wanita hanya mewakili 2 peratus daripada 1.25 juta tenaga kerja maritim di dunia.

    Sehubungan itu, Brunei Darussalam amat mengalu-alukan tema Hari Maritim Sedunia pada tahun ini yang menyeru semua untuk memperkasa wanita dalam komuniti maritim.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam perutusan beliau sempena dengan sambutan Hari Maritim Sedunia 2019 pada 26 September.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tema berkenaan menyediakan satu peluang untuk menambah kesedaran mengenai kepentingan kesamaan jantina, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memaparkan sumbangan penting wanita di seluruh dunia kepada sektor maritim.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Berdasarkan tema, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memainkan ‘peranan penting’ untuk mendukung matlamatnya untuk menambah penyertaan wanita dalam industri maritim. Ia telah melakukan perubahan dengan mengemukakan program untuk penyepaduan wanita dalam sektor maritim sejak tahun 1988.

    Brunei Darussalam yakin dengan usaha mereka dan bersama dengan pelbagai stakeholder maritim, pertubuhan juga membantu mewujudkan satu persekitaran untuk mempromosi peluang pembangunan kerjaya maritim untuk wanita.

    Ini disokong seterusnya oleh kemajuan besar yang dicatat oleh Universiti Maritim Dunia, ditubuhkan oleh IMO, ke arah mempromosi kemajuan wanita dan sektor maritim. Pada 2018, seramai 1,029 wanita telah lulus dari Universiti Maritim Dunia, daripada 4,919 siswazah.

    Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan 90 peratus daripada perniagaan dunia dihantar menerusi laut, kerjaya pelaut dilihat sebagai organ penting dalam industri maritim. Daripada perspektif holistik, kita perlu melihat bidang di luar pelaut sebagai satu-satunya pilihan kerjaya maritim. Tanpa nadi, organ penting tidak dapat berfungsi. Wanita dengan itu boleh menjadi ‘nadi’ berkenaan dengan menceburi kerjaya yang mengembang industri dinamik ini. Kesemuanya boleh dicapai dan menjadi kenyataan hari ini dengan adanya Revolusi Industri 4.0.

    Selain itu, usaha besar yang telah dilakukan oleh IMO mengenai e-Pengemudian merupakan satu contoh di mana teknologi diiktiraf sebagai satu penyelesaian untuk perkapalan mapan, selamat, efisien dan terjamin. Selain itu, Carta Nautikal Elektronik (ENC), Paparan Carta Elektornik dan Sistem Informasi (ECDIS) telah lama menggantikan carta nautikal dan penerbitan nautikal. Revolusi industri maritim dalam era teknologi baharu, seperti pengemudian automatik, perniagaan pintar dan keselamatan siber dan sebagainya membuka pintu kepada lebih ramai penyertaan wanita.

    Kenyataan menambah pada peringkat negara, Tinjauan Tenaga Pekerja oleh Jabatan Perancang dan Kemajuan Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, pada 2018 mendapati peratusan wanita yang bekerja sebagai profesional mengatasi lelaki sebanyak 10.8 peratus. Lebih ramai wanita di Brunei Darussalam diambil bekerja dalam sektor sumber manusia, kesihatan dan kerja sosial, pendidikan, kewangan dan insurans, maklumat dan perhubungan, dan dalam sektor penginapan dan perkhidmatan makanan.

    Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) meramalkan 500 pekerjaan boleh diwujudkan menerusi penubuhan pelabuhan sekunder (agregat), marina, penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikpulih kapal (MRO), pelabuhan bukan konvensional dan perkhidmatan pakar maritim serta perniagaan sampingan mereka. Daripada jumlah tersebut, 50 peratus diramalkan sebagai peluang kerja berpotensi untuk wanita.

    Tambahnya lagi, Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan PBMP terus menyokong usaha-usaha IMO dan bekerjasama dengan rakan negara anggota mereka ke arah pencapaian Agenda Pembangunan Mapan PBB 2030.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda