Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkaya minda dengan ilmu buku agama

    Oleh Nurdiyanah R.

    TEMBURONG, 29 JUN – Kerusi digunakan sebagai tempat duduk, jadi kita mengetahuinya apabila menunaikan sembahyang menggunakan kerusi ia merujuk kepada seseorang yang dalam keadaan darurat untuk menunaikan sembahyang dan perlu diketahui dengan jelas bahawa menunaikan sembahyang secara duduk di atas kerusi terdapat syarat-syarat yang tertentu.

    Demikian telah dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan ucapannya pada Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi di Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa dalam menunaikan sembahyang menggunakan kerusi itu hendaklah dilihat keadaan kemampuan seseorang itu. Jika seseorang itu mampu berdiri dan berjalan seperti biasa namun hanya mengalami sakit belakang jika melakukan tunduk ketika rukuk maka dalam hal ini dia tidak boleh mengangkat takbiratul ihram sambil duduk bahkan adalah diwajibkan ke atasnya mengangkat takbiratul ihram itu dalam keadaan berdiri. Begitu juga situasinya apabila membaca Surah Al-Fatihah dan bacaan-bacaan ayat yang lain juga diwajibkan ke atasnya dilakukan dalam keadaan berdiri.

    Namun jika seseorang itu mengalami sakit belakang yang menyebabkan sukar baginya untuk tunduk rukuk dalam keadaan sedang berdiri maka dalam hal ini barulah dibolehkan menunaikan solat duduk di atas kerusi tersebut.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya turut menyarankan orang ramai untuk sama-sama mengambil pengetahuan sembahyang menggunakan kerusi secara menyeluruh khususnya bagi mereka yang memerlukan yang mana tatacara sembahyang menggunakan kerusi boleh didapati menerusi cetakan pertama buku bertajuk ‘Sembahyang Menggunakan Kerusi: Cara-Caranya’ oleh Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang mana telah dilancarkan beberapa bulan lalu.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menyatakan berbangga melihat orang-orang Brunei sendiri berminat dan menghargai buku-buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan yang mana terdapat buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan yang telah diulang cetak sebanyak sembilan kali bukan hanya laris dijual dalam negara bahkan juga luar negara.

    Tambahnya, terdapat sebahagian pihak dari luar negara pula pernah meminta kebenaran untuk menggunakan buku terbitan jabatan sebagai buku teks di masjid mereka dan hal ini menjadi keberkatan malah ia suatu yang sangat baik sebagai sumbangan keilmuan negara kita kepada umat Islam di mana sahaja yang ingin memanfaatkannya.

    “Saya melihat, masa depan buku-buku agama adalah terus cerah. Walaupun kemajuan teknologi dapat melahirkan kemudahan-kemudahan untuk mendapatkan bahan seperti Internet, namun peranan buku untuk mengasah dan memperkaya minda dengan ilmu adalah tidak boleh dilemahkan oleh sebarang alat lain termasuk Internet. Membaca buku tetap berbeza dengan melayari Internet.

    “Itulah kelebihan buku. Saudara dalam penerbangan dari Bandar Seri Begawan ke London, sebuah buku yang mengandungi 300 muka surat, boleh habis dibaca. Bayangkan buku 300 muka surat dituang masuk ke dalam minda saudara, betapa kayanya minda yang seperti itu,” tekan Yang Berhormat Pehin lagi. Di akhir ucapan Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa begitu istimewanya lagi jika buku yang dibaca itu buku agama, yang terdapat di dalamnya ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis, aqwal ulama dan pelbagai pemikiran bernas maka sudah semestinya segalanya itu boleh menjadi penyuluh kehidupan yang tiada ternilai harganya.

    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan ucapannya pada bengkel berkenaan.
    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menghadiri Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda