KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pasaran kecil yang pantas berkembang di Asia Selatan dan Afrika menunjukkan potensi pertumbuhan mengagumkan bagi mesin juruwang automatik (ATM), didorong oleh perkembangan pesat perkhidmatan perbankan dan ekonomi negara di rantau itu.
Dalam kenyataan hari ini, Retail Banking Research (RBR) berkata, bagaimanapun pasaran lebih matang dunia merekodkan pertumbuhan perlahan, manakala pasaran pesat membangun, seperti Myanmar, akan menyaksikan pertumbuhan pantas bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Penyelidikan RBR, Rowan Berridge berkata walaupun kebanyakan pasaran ATM utama berkembang lebih perlahan atau susut bagi beberapa kes, namun negara yang lebih kecil dan membangun terus mempunyai potensi besar.
“Pasaran ini dicirikan oleh kepadatan rendah ATM kepada jumlah penduduk – kurang daripada 100 mesin bagi setiap juta penduduk – namun menikmati pertumbuhan pesat ekonomi dan mendapat manfaat daripada program dipacu negara untuk meningkatkan keterangkuman kewangan,” katanya.
Beliau berkata, tunai akan kekal sangat penting dalam pasaran berkenaan dan prospek pertumbuhan penempatan ATM adalah sangat baik.
Berdasarkan laporan terkini RBR, ‘Global ATM Market and Forecasts to 2022’, jumlah ATM di Myanmar meningkat daripada sifar pada 2011 kepada 2,500 ATM menjelang akhir 2016, dipacu oleh pembaharuan ekonomi dengan capaian meluas.
Bagi Bangladesh, kajian RBR itu mendapati, pasaran tersebut mencatatkan lonjakan sejak 2015 selepas pelonggaran peraturan bagi penempatan ATM sekali gus mendorong kepada peningkatan pemasangan baharu yang menunjukkan beberapa petanda berkurangan.
“Jumlah ATM diunjur meningkat lebih dua kali ganda di Bangladesh dan Myanmar menjelang 2022 masing-masing kepada 18,000 dan 6,000,” menurutnya.
Bagi Asia Barat dan Afrika, laporan itu mendapati terdapat pertumbuhan kukuh dan prestasi yang sama dijangka dicatatkan oleh banyak pasaran Afrika. – Bernama