Oleh Nurdiyanah R.
KEKUATAN bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada harta benda semata-mata, namun hakikatnya ia juga bergantung kepada tenaga manusia termasuklah golongan belia.
‘Belia umpama berlian’ itulah yang dapat digambarkan betapa pentingnya peranan mereka kepada sesebuah negara.
Sebagai aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan bagi sesebuah negara, golongan belia adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.
Justeru itu, mereka perlu diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar sehingga menjadi generasi yang berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.
Adalah menjadi harapan sesebuah negara untuk mempunyai belia yang berkualiti dan cemerlang serta mampu mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi. Itulah belia syumul atau belia yang sempurna menjadi dambaan kepada sesebuah negara.
Oleh yang demikian, baru-baru ini, wartawan Minda berkesempatan meninjau aktiviti sihat yang penuh berkebajikan dilaksanakan oleh golongan belia tempatan daripada Kumpulan Belia ‘IbadurRahman yang kelihatan begitu bersemangat dan penuh komitmen dalam mengadakan Program Riadah Ria 2.0 bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT), baru-baru ini.
Adapun program yang diungkayahkan dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir MHBPT itu antaranya bermatlamat untuk menjadikan masjid sebagai pusat pengetahuan dan kegiatan sosial untuk seluruh masyarakat Islam di negara ini.
Di samping itu, ia juga bertujuan bagi mewujudkan kesedaran dalam diri setiap individu mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dengan bersukan atau beriadah serta menekankan pengambilan makanan yang sihat demi untuk melahirkan masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang sekali gus merasmikan program berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, pegawai-pegawai hal ehwal masjid, imam MHBPT, ahli-ahli Jawantankuasa Takmir MHBPT, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman dan para jemaah masjid.








Peganglah prinsip agama Islam
Semasa menyampaikan ucapan ringkas, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyarankan agar para belia haruslah sentiasa menyemai di dalam diri dan jiwa akan kecintaan kepada Allah S.W.T dengan penuh rasa kesyukuran dan keikhlasan dan begitu juga mentaati kitab Al-Quran, Pesuruh Allah, agama Islam, negara, pemimpin, keluarga, ibu bapa, para guru dan juga masjid agar kehidupan kita sentiasa di dalam kasih sayangNya.
“Jika para belia sentiasa memegang prinsip kecintaan itu maka ia secara tidak langsung akan mewujudkan suasana kehidupan yang sentiasa dipenuhi dengan rasa ketenangan, keamanan dan kejayaan di dunia dan juga akhirat,” tambahnya lagi.
Selain itu, beliau turut melahirkan harapan agar para belia sentiasa kuat dan berfikiran jauh serta berwawasan tinggi dalam menerajui kehidupan yang penuh cabaran mendatang di dunia ini.
Bersama membangun keluarga sihat duniawi dan ukhrawi
Program selama sehari itu telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah diikuti dengan ceramah bertajuk ‘Membangun Keluarga Sihat’ yang disampaikan oleh Mantan Pengarah Perkembangan Kurikulum, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi juga penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Antara yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah kepentingan mewujudkan sesebuah keluarga berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah iaitu antaranya dengan sentiasa menyemai sifat bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala meliputi segala hal dalam kehidupan baik di kala suka dan duka, di samping sentiasa berusaha menjadi individu muslim yang memiliki akidah dan akhlak serta ibadah yang betul dan terpuji; memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya; serta memiliki sifat juang dan berdikari yang tinggi demi untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Manakala video bertemakan Your Journey Starts Now daripada Kumpulan Belia ‘IbadurRahman turut ditayangkan selepas perasmian program berlangsung. Dalam pada itu, program turut diserikan dengan aktiviti walkaton setelah sesi pemanasan badan di kawasan letak kereta masjid berkenaan.
Turut memeriahkan program tersebut ialah pameran daripada Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Brunei Aids Council (BDAC), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah serta Kumpulan Belia ‘IbadurRahman antaranya isu-isu masalah sosial dan juga pelbagai penyakit seperti isu kehamilan remaja, penyakit AIDS dan HIV, masalah tekanan dan juga faktor-faktornya.
Indahnya sebuah pengalaman
Semasa ditemui Media Permata, salah seorang ahli dalam Kumpulan Belia ‘IbadurRahman yang kini berusia 24 tahun, Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad menyatakan perasaan bersyukur di atas peluang keemasan ini dalam mengikuti program yang penuh kerahmatan ini.
“Sememangnya program ini adalah sesuatu kegiatan yang sangat baik untuk disertai oleh para belia dan seisi keluarga kerana dengannya ia dapat mewujudkan pelbagai manfaat dan pengalaman yang begitu indah untuk dinikmati bersama demi untuk melahirkan masyarakat yang beriman dan bertakwa serta sihat tubuh badan dan akal fikiran,” tambahnya lagi yang merupakan graduan Universiti Brunei Darussalam.
Memanfaatkan masa sihat sebaiknya
Manakala menurut Dayang Samzaida Munawwarah binti Abdullah Sambut juga selaku beliawanis dari kumpulan tersebut turut menjelaskan bahawa dengan mengikuti program tersebut, ia secara tidak langsung dapat mendidik dan mereflek diri sendiri untuk sentiasa memanfaatkan masa sihat dengan kegiatan yang sihat dari segi rohani dan jasmani.
“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim bersama saudara-saudara Islam yang lain, di samping dalam sama-sama mendekatkan diri dengan masjid serta memantapkan ilmu pengetahuan Islam dari masa ke semasa.
“Itulah peranan masjid yang bukan sahaja menjadi pusat beribadat semata-mata, bahkan juga sebagai pusat kegiatan sosial sebagaimana peranan masjid di dalam sejarah Islam, yang mana ia merupakan pusat kehidupan masyarakat Muslim dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi yang berasal dari Kampung Long Mayan, Daerah Tutong semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.
Oleh yang demikian, demi menyumbang pembangunan agama, bangsa dan negara, para belia perlulah sentiasa melengkapkan diri dengan asas keimanan yang kukuh serta menimba ilmu pengetahuan dalam mengharungi apa juga cabaran dan rintangan yang bakal mendatang. Sepertimana kata-kata salah seorang ulama besar, Syeikh Dr Yusof Al-Qhardawi menyatakan: “Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.”
Tanpa adanya keimanan yang kukuh serta jati diri yang teguh dan mantap, para belia akan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif yang sememangnya boleh merosakkan jiwa, minda dan akidah seperti penyalahgunaan dadah, meminum arak, pergaulan bebas dan sebagainya. Oleh itu, bersama-samalah kita merealisasikan dan menjunjung tinggi hasrat Negara Zikir dan Wawasan Brunei 2035 dengan berpegang teguh kepada lunas-lunas Al-Quran dan As-Sunnah.