Perkembangan COVID-19 di tiga negara

JAKARTA, SINGAPURA, THAILAND, 25 OGOS – Indonesia hari ini mencatatkan sebanyak 2,447 kes baharu dalam tempoh 24 jam di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 157,859 kes, manakala 76,667 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 99 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 6,858 orang.

Dalam pada itu, Singapura merekodkan 31 kes baharu dalam 24 jam lalu.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, tiada kes dalam komuniti,” menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura di sini hari ini.

Menurut kementerian itu terdapat satu kes import dan telah diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Perkembangan terkini itu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 56,435.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 860 kes sebagai import, kes komuniti sebanyak 2,219 dan 53,325 kes penghuni asrama.

Di Thailand, lima kes baharu dikesan, menjadikan keseluruhan setakat ini berjumlah 3,402 jangkitan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, kes baharu itu melibatkan seorang pengusaha warga Thailand berusia 26 tahun yang kembali dari Oman pada 17 Ogos, seorang wanita 47 tahun bekerja di spa balik dari Turki manakala dua lagi kes membabitkan lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 20 tahun, masing-masing baru pulang dari Indonesia.

Kes kelima juga kes import, seorang lelaki berusia 46 tahun yang baru balik dari Amerika Syarikat pada 23 Ogos.

Sehingga kini Thailand mencatatkan 3,402 jangkitan termasuk 3,229 kes pulih manakala jumlah korban pula seramai 58 orang. – Bernama