Oleh Prof Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dr Rozaiman bin Makmun, Dr Nani Suryani binti Haji Abu Bakar, Pg Dr Hajah Siti Norainna binti Pg Haji Besar, Dr Hajah Suraya binti Haji Tarasat, Dr Siti Noor Naasirah binti S.Abdullah Teo, Hajah Suziyati binti Mohamad Ali
SIRI 1
NEGARA Brunei Darussalam mula menerima pengaruh pemodenan pada tahun 1906. Pada tahun inilah Perjanjian Tambahan telah ditandatangani antara kerajaan Brunei dan British. Menerusi perjanjian ini seorang Residen British dilantik untuk membantu Sultan Hashim (1885–1906) menjalankan pentadbiran kerajaan Brunei.
Segala nasihat Residen hendaklah diikuti kecuali dalam hal ehwal ugama Islam. Kemunculan pentadbiran Residen tidak hanya membawa pengaruh pemodenan dalam bidang politik tetapi juga dalam bidang sosial dan ekonomi. Salah satu bidang sosial yang menerima pemodenan pada ketika itu ialah bidang pendidikan.
Masyarakat Brunei khususnya orang-orang Islam memang sudah lama mempunyai sistem pendidikan Islam. Bagaimanapun ia dilaksanakan dalam bentuk tradisi yang dilakukan di rumah-rumah, surau, masjid dan balai. Ia dijalankan secara persendirian dan sukarela tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan. Dengan kata lain pendidikan Islam tersebut bersifat tidak formal.
Apabila sistem pentadbiran Residen diperkenalkan dalam pentadbiran awam Brunei, Residen British merasa sukar mendapatkan anak-anak Brunei yang pandai membaca dan menulis dalam huruf rumi.
Mereka ini diperlukan dalam membantu Residen menjalankan jentera pentadbiran awam Brunei yang semakin berkembang. Lantaran itu timbul idea untuk menubuhkan sekolah bagi melahirkan anak-anak Brunei yang boleh membaca dan menulis dalam huruf rumi.
Maka dengan itu sekolah Melayu pun ditubuhkan pada tahun 1914, yang merupakan sistem pendidikan formal dan moden yang pertama diperkenalkan di Brunei. Sejak itu sistem pendidikan formal terus berkembang, bukan hanya dengan kewujudan sekolah Melayu tetapi kemudiannya diikuti oleh kemunculan sekolah Cina, Inggeris dan agama.
Kepelbagaian aliran pendidikan
Perkembangan tersebut menunjukkan kerajaan Brunei pada ketika itu mengamalkan sikap toleransi terhadap kepelbagaian aliran pendidikan atau sekolah vernakular, sungguhpun ada sesetengah negara tidak melaksanakannya kerana kesan jangka panjang dari segi perpaduan rakyat berbilang kaum tidak begitu baik.
Sistem pendidikan formal yang dijalankan di Brunei masih berhadapan dengan berbagai cabaran terutama dari segi kehadiran pelajar-pelajarnya yang berada di tahap yang kurang memuaskan. Hal ini mendorong pihak kerajaan menggubal undang-undang mewajibkan kehadiran pelajar-pelajar ke sekolah pada tahun 1929.
Sistem pendidikan formal Brunei terus berkembang dan sentiasa mengalami perkembangan dan perubahan dari masa ke semasa. Masyarakat Brunei pula secara beransur-ansur telah menerima dan menyedari bahawa pendidikan itu penting kepada masa depan anak-anak mereka. Oleh yang demikian dasar-dasar khusus dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan di negara ini perlu ditentukan.
Dasar-dasar pendidikan yang sudah ditentukan dan berjalan dari masa ke semasa mengandungi berbagai isu yang boleh diperkatakan, maka kajian ini akan memberikan tumpuan terhadap perkembangan dan cabaran yang dihadapinya dalam tempoh enam dekad iaitu dari tahun 1954 hingga 2014, khususnya pendidikan akademik atau pendidikan bukan ugama.
Apabila membicarakan tentang isu-isu cabaran di dalam satu-satu dasar, biasanya ia juga sering dikaitkan dengan masalah-masalah yang berbangkit baik semasa dasar itu dalam proses perlaksanaan mahupun yang berlaku di masa depan yang di luar jangkaan. Oleh itu dalam konteks ini, istilah ‘cabaran’ juga termasuk ‘masalah’ kerana kedua-duanya dianggap hampir sama atau tidak jauh perbezaannya.
Meskipun pendidikan formal mula diperkenalkan pada tahun 1914, namun kerajaan di bawah pentadbiran Residen British, tidak pernah mengeluarkan dasar rasmi pendidikan negara sehingga tahun 1954. Sedangkan dalam perancangan meningkatkan mutu pendidikan generasi muda Brunei, hanya boleh dicapai menerusi penubuhan dasar yang jelas dan teratur.
Ketetapan
Dasar adalah ketetapan dalam proses pengurusan sesebuah organisasi atau kerajaan. Dasar bukan sesuatu yang neutral dan statik tetapi ia diwujudkan dan berkembang mengikut motif tersirat yang berkaitan dengan bidang politik, ekonomi dan sosial.
Antara bidang-bidang ini, politik merupakan satu aspek yang biasanya mempengaruhi orientasi dan kandungan sesuatu dasar tidak terkecuali dasar pendidikan sesebuah negara.
Dasar pendidikan yang jelas memang tidak boleh dinafikan kepentingannya sebagai landasan dan garis pandu dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan sesebuah negara.
Corak dasar pendidikan sudah setentunya sentiasa selaras dengan arus perubahan sosioekonomi dan politik bukan sahaja dalam negara itu sendiri, bahkan selaras dengan perubahan yang berlaku di sekelilingnya dan di luar negara juga turut diambil kira. Lebih-lebih lagi di era globalisasi dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin canggih menyebabkan dunia kehilangan sempadan, perhubungan lebih cepat dan canggih berlaku di alam maya.
Jika tidak mengikut perkembangan tersebut, negara akan tercicir dan tertinggal daripada perubahan dan kemajuan dunia yang sentiasa bergerak tanpa hentinya.
Penggubalan sesebuah dasar pendidikan akan melibatkan secara langsung pihak pemerintah, agensi kerajaan yang peranan dalam bidang pendidikan, tenaga pengajar, pelajar dan orang awam khususnya ibu bapa.
Selain itu, penggubalan dasar pendidikan juga ada kalanya membabitkan pihak luar negara, misalnya bagi Brunei, biasanya melibatkan Malaysia dan British. Keberhasilan dan keberkesanan sesuatu dasar pendidikan itu bergantung kepada sejauh mana pencapaiannya dalam pembinaan ilmu yang dijana menerusi proses dan perlaksanaannya.
Hal ini memang satu cabaran yang memerlukan sokongan yang padu daripada satu sistem dalam memastikan proses pendidikan tersebut berjalan selaras dengan acuan hala tuju dan matlamat asasnya.
Dalam tempoh enam dekad iaitu dari tahun 1954 hingga 2014, Negara Brunei Darussalam sudah mengadakan sebanyak lima kategori dasar pendidikan.
Dasar-dasar itu ialah Dasar Pendidikan 1954, 1962, 1972, Dwibahasa 1984 dan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21) 2008.
Bersambung minggu depan…